PRESTASI eksport Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus.
PRESTASI eksport Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus.

PRESTASI eksport Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada kesan Covid-19 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM82.9 bilion pada Jun 2020.

Sementara itu, lebihan dagangan pula berjumlah RM20.9 bilion terbesar sejak Oktober 2019.

"Ini adalah lebihan dagangan terbesar dicatatkan sejak Oktober 2019 dengan nilai RM17.3 bilion," kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, import merosot 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM61.98 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM144.8 bilion pada bulan berkenaan berkembang sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun.

Beliau mengaitkan pertumbuhan itu kepada peningkatan eksport ke China (+RM4.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion) dan Hong Kong (+RM1.4 bilion).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.5 bilion), keluaran getah (+RM1.8 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.5 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM993.6 juta) dan jentera, peralatan dan kelengkapan (+RM951.4 juta).

Sementara itu, import dicatatkan lebih rendah terutama dari Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion), Singapura (-RM772.8 juta), Thailand (-RM723.1 juta) dan Republik Korea (-RM706.6 juta).

Penurunan import dicatat bagi keluaran petroleum (-RM2.4 bilion), kelengkapan pengangkutan (-RM1.7 bilion) dan petroleum mentah (-RM1.1 bilion).

Mohd Uzir berkata, import barangan perantaraan, turun 10.8 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM34.1 bilion manakala import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing mencatat kenaikan 9.0 peratus kepada RM6.1 bilion dan 2.8 peratus kepada RM7.3 bilion. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:15 AM