RAFIQ Razali. FOTO Salhani Ibrahim
RAFIQ Razali. FOTO Salhani Ibrahim
Bisnes HM


MEDIA Prima Digital dan REV Asia kini dikenali sebagai REV Media Group sebagai sebahagian inisiatif penjenamaan semula korporat untuk memperkasa fungsi dan proses perniagaan.

Ia akan berpusat di Sri Pentas, Bandar Utama dengan visi dan misi baharu untuk untuk menjadi syarikat digital media nombor satu di Malaysia dari segi jangkauan, pengekalan dan pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Rafiq Razali berkata, dengan penjenamaan baharu ini, pihaknya berharap dapat memberi sinergi yang baik untuk menawarkan penyelesaian terbaik kepada pelanggan.

"Ini adalah detik bersejarah buat kami kerana secara rasminya ia menandakan penyatuan dua organisasi media digital utama.

"Saya yakin dan percaya bahawa jenama baru ini akan mendorong kami untuk pergi lebih jauh dan membantu mengukuhkan kedudukan kami sebagai penerbit digital terbaik di Malaysia," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Operasi Perniagaannya, Sam Wee berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan kakitangan di REV Media Group untuk berkongsi visi dan matlamat yang sama.

"Saya yakin bahawa transformasi ini akan menjadikan kami lebih baik sebagai satu pasukan," katanya.

REV Media Group mewakili lebih 30 jenama terbaik merangkumi pelbagai bahasa dan platform seperti My Metro, BH Online, NST Online, SAYS, OHBULAN!, Viralcham,Mashable SEA dan IGN SEA.

Rangkaiannya yang luas menjangkau lebih 15 juta orang setiap bulan, sekitar 75 peratus dari jumlah keseluruhan populasi Internet di Malaysia.

Terdahulu, Media Prima Digital memperoleh REV Asia Holdings pada 2017 untuk memberi tumpuan kepada pengembangan kandungan digital dan platform media digital serta mengukuhkan kedudukan Media Prima sebagai penerbit digital terkemuka di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 2:26 PM