DARI kiri, Nicol, Bekham dan Kevin Zahri bergandingan dalam projek AIA Live.
DARI kiri, Nicol, Bekham dan Kevin Zahri bergandingan dalam projek AIA Live.

AIA mengadakan acara kesihatan dan kesejahteraan serantau dalam talian buat julung kalinya merentasi 13 pasaran dan diterajui Duta Global AIA, David Beckham.

AIA Live disiarkan pada Ahad, 2 Ogos dan mempunyai lebih daripada 30 sesi unik yang terdiri daripada perkongsian kandungan kesihatan dan kesejahteraan untuk memberi inspirasi, motivasi dan mendidik masyarakat serantau sebagai sebahagian daripada komitmen AIA untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

Tema utamanya merangkumi kesejahteraan mental, senaman, aktiviti dan istirehat, pemakanan dan nutrisi, pertumbuhan peribadi, serta segmen muzik dan komedi yang santai dan menghiburkan.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan AIA, Stuart A Spencer berkata, dalam persekitaran dicemari Covid-19 ini, pihaknya dapat melihat perubahan yang berlaku kepada pemikiran serta tingkah laku orang ramai.

"Oleh itu, kami komited terus berhubung dengan pelanggan dan membantu mereka berkongsi ilmu dan tips praktikal berkenaan kesihatan dan kesejahteraan.

"Kami sedar ramai pelanggan kini lebih aktif dalam talian berbanding sebelum ini, dan mencari kaedah baharu untuk kekal bermotivasi, aktif dan menjalani gaya hidup sihat dari kediamannya," katanya.

Menurutnya, David Beckham merasmikan dan menutup acara itu serta berkongsi kisah bagaimana beliau dan keluarga berhadapan peristiwa luar biasa pada 2020.

"Kelab Bola Sepak Tottenham Hotspur (Spurs) turut mencabar peserta mencuba beberapa teknik bola sepak mudah dan menyeronokkan." katanya.

AIA Live disiarkan di saluran YouTube Healthy Living AIA dan ahli AIA Vitality yang mengambil bahagian memperoleh mata AIA Vitality.

Dengan mendaftar untuk acara itu, peserta berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk percutian ke London untuk menyaksikan pasukan Spurs bermain dan bertemu pemain pasukan utama, bola yang ditandatangani David Beckham serta barangan menarik daripada duta AIA lain.

AIA juga merancang mengadakan acara seumpama ini di China dan India pada awal September depan dengan kandungan disesuaikan untuk pasaran berkenaan.

Di Malaysia, duta AIA yang baru dilantik, Datuk Nicol David turut menyertai barisan jemputan hebat ini dengan dua sesi menarik selain sesi dikendalikan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 7:30 AM