MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Munira Abdul Ghani
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Munira Abdul Ghani
Syarifah Dayana Syed Bakri


BELANJAWAN 2021 akan dibentangkan pada 6 November ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, belanjawan tahunan yang bakal diumumkan itu akan tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna.

"Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan kepada empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat; memacu pertumbuhan ekonomi; melestarikan kehidupan; dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

"Seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), saya dan pasukan dari Kementerian Kewangan (MoF) bertindak untuk turun padang.

"Contohnya, dua minggu lalu kami ke Melaka untuk melancarkan Jelajah Belanjawan 2021 yang bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai industri dalam merangka Belanjawan 2021, dan minggu seterusnya kami ke Subang menemui wakil industri aeroangkasa.

"Saya juga berkesempatan menemui Yayasan Hasanah untuk melihat pelaksanaan Geran Khas Hasanah, dan berbual bicara bersama NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan), dan pertubuhan masyarakat awam (CSO)," katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Ke-15 pelaksanaan Prihatin dan Penjana menerusi Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pendekatan turun padang dan mendengar masalah yang dihadapi adalah cara terbaik memandangkan dunia sedang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Dari situ, kita akan mengkaji setiap cadangan yang diberikan kepada pihak kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 2:41 PM