Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad, Wan Razly Abdullah Wan Ali.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad, Wan Razly Abdullah Wan Ali.

AFFIN Bank Berhad (AFFINBANK) dan Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) mengumumkan inisiatif pelepasan kewangan dikenali sebagai program Financial Assistance and Instalment Relief (FAIR) untuk pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, berikutan berakhirnya tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan pada 30 September depan.

Program FAIR ialah suatu penyelesaian bantuan kewangan yang disesuaikan dengan profil dan keadaan semasa pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad, Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, program berkenaan disediakan bukan saja untuk pelanggan individu sebaliknya turut meliputi pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat.

"Pelanggan boleh datang berjumpa pihak bank dan membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan kelangsungan kehidupan peribadi atau perniagaan mereka.

"Dengan program ini, pelanggan yang terjejas boleh menangguhkan pembayaran pinjaman mereka, memohon untuk pengurangan bayaran ansuran atau menstruktur semula pinjaman mereka buat jangka masa tertentu berdasarkan kes untuk membantu mereka dalam tempoh pemulihan Covid-19 ini," katanya, semalam.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan untuk membantu pelanggan menguruskan komitmen kewangan mereka dengan lebih baik dan efisien dalam tempoh ini dan beberapa bulan mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 7:20 AM