AMIRUDIN (tengah) bersama penerima kunci rumah Idaman Warisan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
AMIRUDIN (tengah) bersama penerima kunci rumah Idaman Warisan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Oleh Nurul Husna Mahmud


SEBANYAK 37 projek perumahan terbengkalai di Selangor yang berada di bawah pemantauan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan menjadi perhatian kerajaan negeri untuk dibaik pulih.

Sehingga Julai lalu, 81 daripada 180 projek perumahan terbengkalai di Selangor berjaya dipulihkan sejak 2008.

Ia termasuk kejayaan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menyelesaikan penantian 203 pembeli rumah Idaman Warisan di Alam Perdana, Ijok selepas terbengkalai sejak 1999.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada keseluruhan projek terbengkalai itu hanya dua projek menggunakan dana kerajaan negeri untuk dibaik pulih dan ia hanya babitkan infrastruktur.

Katanya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau status setiap projek dan mengemas kini dari semasa ke semasa.

"Kebanyakan pembaikan atau kerja pemulihan ini akan dilakukan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat.

"Dalam kes projek Idaman Warisan, ia dibaik pulih konsortium LBS Bina Group Bhd dan Worldwide Holdings Bhd," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada 203 pemilik asal projek Idaman Warisan Shah Alam, semalam.

Usaha memulihkan projek terbengkalai yang dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia itu dimulakan pada September 2016 apabila MBI Selangor menandatangani perjanjian Pemulihan Projek Alam Perdana bersama konsortium antara LBS Bina Group dan Worldwide Holdings.

Amirudin berkata, projek Rumah Idaman Warisan adalah contoh komitmen MBI Selangor dan anak syarikat berkolaborasi dengan pemaju tempatan dalam usaha menyelesaikan isu perumahan rakyat.

"Bagi pemulihan semula kediaman terbengkalai seperti projek Rumah Idaman Warisan ini, ia menelan kos RM38 juta merangkumi kerja pemulihan dan pemberian insentif tambahan menerusi peralatan dan perkakas seperti kabinet, set televisyen dan pendingin hawa.

"Namun kerajaan negeri berjaya menjana semula pendapatan lebih RM500 juta menerusi sistem pengurusan tender secara terbuka dan telus selain cukai tertentu dan caj premium dikenakan kepada pemaju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:31 AM