BNM sudah mengurangkan OPR dengan jumlah terkumpul sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 16 tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
BNM sudah mengurangkan OPR dengan jumlah terkumpul sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 16 tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

CAMPUR tangan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pasaran kewangan melalui pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR), suntikan mudah tunai dan pengurusan rizab hutang membantu mengekalkannya teratur seperti sebelum Covid-19.

Sejak Januari lalu, BNM sudah mengurangkan OPR dengan jumlah terkumpul sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 16 tahun lalu.

"Ini untuk membantu meringankan obligasi hutang peminjam dan menyokong aktiviti pembiayaan, justeru, sistem kewangan di Malaysia terus kekal teratur," kata Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Langkah sedemikian penting untuk mengelak kejutan ekonomi seperti yang dialami semasa Krisis Kewangan Asia (AFC), yang menyaksikan penguncupan sebanyak 7.36 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1998, katanya pada taklimat Editor Kanan di Kuala Lumpur pada Khamis.

Bank pusat menguruskan kira-kira RM46 bilion nilai mudah tunai dalam sistem selain menyuntik mudah tunai melalui pelbagai instrumen di bawah syarikat pasaran terbuka seperti repo berbalik dan pembelian sekuriti kerajaan sepenuhnya.

Dengan berbuat demikian, Nor Shamsiah berkata BNM mengukuhkan fungsi dengan teratur dan menenangkan pasaran bon domestik.

Selain itu katanya, lanjutan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman oleh institusi kewangan turut membuktikan bahawa sistem perbankan memainkan peranannya dalam membantu peminjam semasa pandemik.

"Malaysia, setahu saya, satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan moratorium secara automatik dan kita boleh melakukannya bukan kerana kita bernasib baik tetapi kerana kita telah melabur dengan banyak semasa tempoh yang baik untuk membina penampan dan untuk bank membangunkan amalan dan infrastruktur mereka.

"Ini membolehkan mereka mempunyai ruang dan penampan untuk digunakan… tetapi penting juga untuk kita berhemat dalam menggunakan penampan (simpanan) ini," katanya.

Mengambil contoh, katanya pada peringkat individu, seseorang tidak akan berfikir dua kali untuk berbelanja tetapi apabila simpanan mula berkurangan, beliau akan berfikir dua atau tiga kali sebelum berbelanja.

"Bagi kami, ini bukan mengenai menyelamatkan bank tetapi mengenai memelihara fungsi perantaraan mereka berikutan apabila kita beralih daripada fasa kelonggaran, amat penting untuk bank menyokong pemulihan dengan tidak terlalu menghindari risiko.

"Apabila penampan anda amat tipis, bank akan menjadi amat menghindari risiko," katanya.

Nor Shamsiah berkata, ia juga amat penting untuk memastikan bahawa bank mempunyai penampan yang mencukupi untuk menyerap kemungkinan peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL).

Beliau berkata adalah normal NPL meningkat apabila pertumbuhan ekonomi negatif atau lebih rendah.

Sehubungan itu, menguruskan kedudukan semasa berikutan kelembapan ekonomi dengan cara ia tidak menyebabkan krisis perbankan menjadi kebimbangan utama BNM.

"Krisis perbankan akan menyebabkan kemelesetan yang lebih teruk dan akan mengambil masa lebih lama untuk pulih," katanya.

Moratorium yang berkuat kuasa pada 1 April menyaksikan lebih 90 peratus daripada peminjam mengambil peluang daripada bantuan itu, berjumlah RM66.6 bilion sehingga 31 Julai.

Fleksibiliti pembayaran balik itu berakhir pada 30 September, 2020 tetapi institusi perbankan dijangka memberikan saluran lain atau bantuan bersasar kepada peminjam yang terjejas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 5:16 PM