GRAB akan menawarkan operasinya ke kawasan luar bandar di selatan dan utara Semenanjung akhir bulan ini.
GRAB akan menawarkan operasinya ke kawasan luar bandar di selatan dan utara Semenanjung akhir bulan ini.

GRAB akan menawarkan operasinya di kawasan luar bandar di bahagian selatan dan utara Semenanjung Malaysia menjelang akhir bulan ini.

Ketua Luar Bandar, Grab Malaysia, Ben Chin berkata, pengembangan ini termasuk di Mersing, Segamat, Cameron Highlands, Pantai Remis dan Baling.

"Pengembangan ini sebahagian daripada perjalanan berterusan Grab untuk memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia malah membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk pekerja ekonomi gig dan perniagaan berkembang serta mencapai keseimbangan bagi industri ini terus mampan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pengumuman itu dibuat pada majlis pelancaran [email protected] yang dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Menurutnya, rancangan pengembangan ini akan menyaksikan perkhidmatan GrabCar di Mersing dan Segamat akan bermula akhir bulan ini dan seterusnya diikuti oleh perkhidmatan GrabFood dan GrabMart yang dirancang untuk dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Di utara Semenanjung, Grab akan beroperasi di Cameron Highlands, Pantai Remis dan Baling.

"Ini sebahagian daripada usaha Grab untuk memastikan tiada yang ketinggalan dalam ekonomi digital terutama masyarakat di luar bandar di mana mereka berpendapatan menengah adalah 41 peratus lebih rendah daripada pendapatan penduduk bandar menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Sebagai penyokong ekonomi digital, kami berbangga membawa teknologi kami ke komuniti di luar bandar dengan menyediakan rakyat Malaysia dengan penyelesaian yang lebih selamat, boleh dipercayai dan berpatutan.

"Pada masa sama, kami mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan di seluruh ekosistem perkhidmatan kami yang merangkumi pengangkutan, makanan dan pasar raya terutama di kawasan luar bandar," katanya.

"Dengan pengembangan ini, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan rakan kongsi untuk terus menyokong kegiatan ekonomi di kawasan ini,

dan mereka diberi kuasa untuk berkembang maju dalam ekonomi digital," katanya.

Sementara itu, menurutnya, Grab juga memperluas inisiatif Pakej Pikul Bersama untuk rakan pemandu baru yang menyertai platform Grab dengan menyediakan pembayaran balik sekali saja sehingga RM120 untuk lesen PSV mereka dan RM70 untuk pemeriksaan permulaan kenderaan di Puspakom.

"Inisiatif ini diwujudkan untuk membantu rakan pemandu melepasi beberapa proses peraturan ketika pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 6:59 AM