MOHD Shahar cuba menggunakan kios layan diri ketika lawatan kerja ke KWSP, Seremban, semalam. Turut hadir, Pengarah KWSP negeri, Muhammad Mahdi Abdul Samad (kiri).
MOHD Shahar cuba menggunakan kios layan diri ketika lawatan kerja ke KWSP, Seremban, semalam. Turut hadir, Pengarah KWSP negeri, Muhammad Mahdi Abdul Samad (kiri).
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan menggesa lebih ramai pekerja ekonomi gig atau mereka yang bekerja sendiri memanfaatkan kemudahan perlindungan sosial yang diwujudkan menerusi i-Saraan iaitu program caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan 11, Mohd Shahar Abdullah berkata, setakat Jun lalu, hanya 255,000 pekerja ekonomi gig yang mendaftar dalam skim berkenaan dan 18 peratus daripadanya membuat caruman.

Katanya, statistik itu tidak memberangsangkan dan jauh daripada sasaran berbanding ada 2.7 juta golongan pekerja sendiri terutama mereka yang berusia bawah 55 tahun di negara ini.

"Ramai rakyat kita terutama daripada kelompok ekonomi gig khususnya golongan muda tidak memanfaatkan kemudahan i-Saraan ini sedangkan ia suatu insiatif yang bertepatan dengan perubahan dalam sektor pekerjaan di negara ini akibat penularan Covid-19," katanya.

"Malah kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) memperuntukkan RM50 juta bagi menyokong rangka perlindungan sosial bagi ekonomi gig dengan menggalakkan pekerja sektor berkenaan untuk menyimpan demi masa hadapan.

"Antara manfaat yang akan mereka peroleh termasuk pemberian insentif khas kerajaan sebanyak 15 peratus, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun kepada ahli yang mendaftar dan mencarum dalam program i-Saraan ini," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke KWSP Seremban dan Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021 ke Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Seksyen Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan, Ahmad Fauzi Sungip dan Ketua KWSP Negeri Sembilan, Mahdi Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Mohd Sahar berkata, ahli yang mencarum menerusi i-Saraan akan mendapat faedah sama dengan ahli yang bekerja sepenuh masa selain sumbangan tambahan diberikan kerajaan.

Mengenai Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021, beliau berkata, ia sebahagian langkah kementerian untuk mengumpulkan semua idea dan cadangan sebelum pembentangannya pada 6 November depan.

Menurutnya, orang ramai boleh memberikan pandangan mengenai belanjawan itu menerusi portal yang diwujudkan dan setakat ini ramai yang memberikan respon positif.

"Setakat ini, portal itu dilayari 450,000 yang memberi maklum balas dan komen mengenai Belanjawan 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 7:10 AM