SEMUA pihak harus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai betapa pentingnya untuk mencarum bagi keselamatan sosial.
SEMUA pihak harus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai betapa pentingnya untuk mencarum bagi keselamatan sosial.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KualaLumpur: Kesedaran dalam kalangan pekerja gig untuk mencarum di bawah Penjana Gig masih di tahap rendah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejak Julai 2020 hingga kini, hanya 0.8 peratus atau 2,533 pekerja ekonomi gig mencarum dengan Penjana Gig daripada sasaran 300,000 pekerja.

"Dengan bayaran RM232.80 setahun, kerajaan membayar 70 peratus (RM163) manakala 30 peratus (RM69.80) lagi ditampung oleh pekerja gig atau penyedia platform.

"Kerajaan berharap lebih1 ramai pekerja gig mengambil peluang mencarum dengan Perkeso dan/atau skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mendapat perlindungan Penjana Gig," katanya dalam laporan Laksana ke-21 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, bagi tujuan perlindungan Penjana Gig ini, manfaat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bukan saja meliputi faedah perubatan, pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, tetapi juga termasuk beberapa faedah lain yang turut memberi manfaat kepada ahli keluarga.

"Antara manfaat yang akan diterima adalah Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), Faedah Orang Tanggungan (Kematian) kepada Pasangan/Ibu Bapa/Adik-Beradik/Anak yang membolehkan keluarga menerima RM1,395 sebulan sepanjang hayat dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

"Semua pihak harus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai betapa pentingnya untuk mencarum bagi keselamatan sosial, terutamanya bagi pekerja ekonomi gig," katanya.

Sementara itu, laporan sama turut mendedahkan, setakat 4 September lalu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuat kuasa sejak 1 April lalu dianggarkan berjumlah RM85.8 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM30 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM55.8 bilion.

"Pihak bank menghubungi lebih dua juta peminjam yang merangkumi individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan.

"Mereka yang masih memerlukan bantuan dan belum berbincang dengan bank digesa menghubungi dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:01 AM