MIA Hanum menunjukkan peralatan digunakan untuk mandian di Herbal Bubble & Beauty Spa miliknya.
MIA Hanum menunjukkan peralatan digunakan untuk mandian di Herbal Bubble & Beauty Spa miliknya.
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Lumpur: Pengendali Herbal Bubble dan Beauty Spa bercadang membuka cawangan di Kuala Pilah, Seremban dan Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun lagi berikutan sambutan menggalakkan orang ramai terhadap spa berkenaan yang terletak di Bandar Seri Jempol.

Pengurusnya, Mia Hanum Abas berkata, Herbal Bubble berkonsep hidroterapi mandian kesihatan diperkenalkan bagi tujuan mencegah, merawat dan memulihkan diri secara semula jadi menerusi mandian.

"Terapi ini sudah menjalani penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama 16 tahun di Jerman dan diguna pakai di lebih 50 negara.

"Ia dikatakan mampu membantu mengurangkan kesan proses penuaan, mengurangkan kelesuan, merawat kebas hujung jari kaki dan tangan, membantu menstabilkan berat badan," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, di Jempol, Herbal Bubble dan Beauty Spa diusahakannya sejak 2017 selepas mengambil alih daripada kakaknya dan menjadi satu-satunya spa berkonsep mandian.

"Kebanyakan pelanggan mendapatkan rawatan di spa bukan saja untuk kelihatan cantik, tetapi atas pelbagai faktor kesihatan.

"Untuk mendapatkan hasil terbaik, mandian perlu dilakukan secara konsisten iaitu tiga kali berturut-turut pada harga pakej hanya RM120.

"Mungkin bagi sesetengah orang rawatan secara mandian ini masih baharu namun kaedah mandian ini mampu memberi kesegaran dan tenaga selepas dilakukan secara konsisten," katanya.

Menurutnya, terdapat pelanggannya yang datang dari beberapa daerah berhampiran seperti Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan turut meliputi daerah di Pahang seperti Bera dan Bentong.

"Kami menawarkan rawatan yang mampu membantu meningkatkan kesihatan pelanggan pada harga mampu milik dan kerana itu ada pelanggan kami sanggup datang dari jauh untuk menikmati keselesaan hasil rawatan yang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:00 AM