DR Zulkifli  (tengah) menerima cenderamata daripada Tajuddin pada Majlis Pelancaran Jariah Fund Bank Muamalat, semalam.
DR Zulkifli (tengah) menerima cenderamata daripada Tajuddin pada Majlis Pelancaran Jariah Fund Bank Muamalat, semalam.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan mengutip sumbangan sehingga RM40,000 melalui pendanaan awam bagi fasa pertama projek kebajikan sosial, Jariah Fund.

Pengerusi Bank Mualamat, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, objektif Jariah Fund adalah untuk menyantuni golongan yang memerlukan dan meringankan beban masyarakat melalui penerapan teknologi kewangan (fintech).

Katanya, platform ini juga adalah antara inisiatif bagi menyokong strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation) seperti yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia.

"Platform ini menggunakan proses pembayaran elektronik menerusi gerbang pembayaran FPX di mana orang ramai boleh menyumbang secara dalam talian dan kutipan dinyatakan secara tempoh masa sebenar (real time).

"Orang ramai boleh melayari jariahfund.muamalat.com.my dan memilih untuk menderma atau menyumbang kepada kempen yang dipaparkan.

"Kami berharap usaha ini dapat membantu golongan yang terjejas agar dapat meneruskan kehidupan mereka," katanya di majlis pelancaran Jariah Fund di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Sementara itu, Ketua Bahagian Dakwah, Wakaf dan Zakat Bank Muamalat, Dr Mohd Hafiz Fauzi berkata, Bank Muamalat adalah peneraju dalam kalangan institusi kewangan Islam di negara ini yang berjaya membangunkan platform pendanaan awam dalam talian, dengan menggunakan kepakaran dalaman sepenuhnya untuk tujuan amal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:10 AM