GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Unifi mencatat peningkatan pengguna baharunya pada kadar purata sebanyak 15-20 peratus.

Ketua segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) unifi, Azmi Abdullah berkata permintaan tersebut meningkat selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang didorong oleh langkah perniagaan yang mula menggunakan teknologi pendigitalan.

"Pada masa ini kami mempunyai 1.3 juta pengguna unifi TV manakala lebih daripada 400,000 adalah pelanggan PKS," katanya pada sidang media hari ini.

Ketika ditanya adakah unifi akan menawarkan penyusunan semula bagi pembayaran lewat untuk pengguna yang menghadapi masalah membayar bil internet dalam tempoh PKP Pemulihan, beliau berkata ia akan disediakan berdasarkan kes demi kes.

"Setakat ini, hanya sebilangan kecil PKS telah memohon penstrukturan semula pembayaran dan kami telah berusaha membantu mereka," katanya.

Bagi peralihan Streamyx sedia ada kepada unifi, Azmi berkata syarikat itu komited untuk mendorong pengguna Streamyx beralih kepada unifi.

Selain itu, unifi akan turut menawarkan '[email protected]' iaitu platform penyenaraian perniagaan percuma yang akan disiarkan di unifi TV.

"Ini adalah tambahan kepada 'unifi business club' kami yang menyediakan sokongan premium 'unifi riders' (khidmat bantuan teknikal) untuk mengurangkan sebarang masalah disebabkan penyambungan," katanya.

Sementara itu, pemilik unifi, Telekom Malaysia berkata maklumat kelajuan Internet untuk pakej unifi 500Mbps yang dikeluarkan pada portalnya adalah silap dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat perkara tersebut.

"Kami telah menghubungi pelanggan kami dan menjelaskan mengenainya dan membetulkan kesilapan itu. Tidak ada perubahan pada konfigurasi kelajuan muat naik," kata Naib Presiden dan Ketua Pemasaran unifi, Lai Shu Wei.

Sebelum ini, unifi didakwa telah mengurangkan kelajuan muat naik salah satu pakej internet tanpa memberitahu pelanggan yang kemudiannya disusuli siasatan oleh pihak MCMC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 1:32 PM