PRAVEEN (kiri) bersama Rodzi.
PRAVEEN (kiri) bersama Rodzi.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Allo Technology Sdn Bhd (Allo), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama bagi membolehkan Digi memanfaatkan penyelesaian perkhidmatan rangkaian Lapisan 2 Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Allo.

Ia membolehkan Digi meluaskan kehadiran jalur lebar kediaman ke 45,000 rumah sekitar Melaka, Perak dan Cyberjaya.

Ia juga menjadikan jumlah keseluruhan capaian kediaman bagi Allo mencecah angka 155,000 menjelang suku kedua 2021.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi Praveen Rajan berkata, pihaknya teruja bekerjasama sekali lagi dengan Allo dalam usaha menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang membolehkan mereka menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di rumah dan di mana saja.

"Bekerja dengan rakan kongsi seperti Allo membolehkan kami mempercepat penyampaian perkhidmatan jalur lebar di rumah terutamanya pada masa ini ketika terdapat permintaan kritikal untuk penyambungan yang dipercayai bagi kerja jarak jauh dan keperluan pendidikan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan Digi.

"Kami berharap capaian Digi yang lebih luas dapat memberi manfaat kepada komuniti khususnya dalam aspek ketersambungan dan meningkatkan kualiti hidup pengguna.

"Kami percaya kepentingan untuk terus kekal di hadapan terutama dalam era digital. Kerjasama ini diharap dapat menghasilkan sambungan berkualiti tinggi dan mampu dimiliki bagi manfaat pengguna dan negara," katanya.

Kerjasama itu lanjutan daripada usaha yang dilaksanakan sebelum ini iaitu projek awal menyediakan perkhidmatan jalur lebar kediaman tanpa had ke 1,100 penduduk dan perniagaan di Melaka pada awal tahun lalu.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Dengan beberapa kerjasama diumumkan baru-baru ini, Digi kini berpeluang membawakan perkhidmatan jalur lebar kediaman yang berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:20 AM