HONDA City RS i-MMD Serba Baharu didatangkan dengan enjin 1.5L i-MMD.
HONDA City RS i-MMD Serba Baharu didatangkan dengan enjin 1.5L i-MMD.
Oleh Lizam Ridzuan


HONDA Malaysia bakal melancarkan Honda City RS i-MMD Serba Baharu untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Berdasarkan tinjauan model ini dengan lebih dekat melalui sesi pandu uji eksklusif yang diadakan di Litar Sukan Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Ayer Keroh anjuran Honda Malaysia, model berkenaan dijangka menarik perhatian penggemar Honda City.

Honda City Serba Baharu ini didatangkan dengan enjin 1.5L i-MMD (Mod Pemanduan Pelbagai Pintar) yang menghamburkan tenaga tork 253Nm melalui transmisi e-CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan Elektrik).

Sistem i-MMD yang turut dikenali sebagai e:HEV untuk pasaran global adalah teknologi hibrid generasi akan datang Honda untuk penggunaan tenaga mesra alam lebih responsif dan efisien.

Ia 111 milimeter (mm) lebih panjang, 54 mm (lebar) dan 10mm (rendah) berbanding model generasi sebelumnya.

Antara ciri luaran terkini ialah lampu hadapan dan belakang LED baharu serta lampu nyalaan siang (DRL), lapisan bawah bampar hadapan corak karbon, bampar belakang dengan diffuser, cermin sisi hitam dan rim aluminium 16 inci dwiwarna.

Ia juga disertakan Brek Parkir Elektrik (EPB) serta elemen Honda Sensing termasuk Honda LaneWatch menjadikan model ini kenderaan segmen-B pertama di negara ini dilengkapi ciri seumpama itu.

Buat masa ini paparan ruang dalaman serta harga masih lagi dirahsiakan untuk tatapan umum dan akan diumumkan pada hari pelancaran kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 7:10 AM