PROTON X70
PROTON X70
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Syarikat automotif nasional, Proton mencapai peningkatan kadar jualan sebanyak 11,935 unit bagi September, iaitu kedua tertinggi pada 2020 dan peningkatan 12.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton sudah menjual 73,607 unit kenderaan tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia.

Tiga model Proton mempunyai jualan terbanyak untuk segmen masing-masing, sama seperti direkodkan bulan lalu.

SUV terlaris di Malaysia, Proton X70, mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik pada 2020.

Manakala, Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, selepas Kadar Keseluruhan Industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, pihaknya boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia sudah mencapai kestabilan buat masa ini.

"Proton berasa lega dan yakin kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan tahun lalu dan ini adalah penunjuk bahawa kita telah kembali ke tahap penjualan yang lestari," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu dan jumlah tempahan melebihi jangkaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 12:04 PM