ZAMZAMZAIRANI
ZAMZAMZAIRANI
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Maybank mengumumkan pelantikan Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa sebagai ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusinya yang baharu berkuat kuasa 2 November ini.

Syarikat perbankan terbesar negara dari segi aset itu dalam satu kenyataan berkata, Zamzamzairani akan menggantikan Datuk Mohaiyani Shamsudin yang akan bersara pada 1 November ini, selepas sembilan tahun berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Maybank.

Mohaiyani dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Maybank pada 22 Ogos 2011 dan Pengerusi pada 1 April 2017.

Mengulas perkembangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan Zamzamzairani sebagai Pengerusinya yang baharu.

"Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan membawa pengetahuan mendalam terutamanya dalam bidang teknologi, aspek penting bagi menjana pertumbuhan dan kejayaan Maybank pada masa hadapan.

"Kumpulan Maybank menantikan bimbingan dan kepemimpinannya dalam menempuhi persekitaran operasi yang mencabar dan meneruskan agenda pertumbuhan, dengan fokus khusus untuk memperkukuhkan kemampuan digital kami," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Zamzamzairani memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi dari Plymouth Polytechnic, United Kingdom dan telah menamatkan program Kewangan Korporat, Strategi untuk Mencipta Nilai Pemegang Saham di Kellogg School of Management, Northwestern University, Amerika Syarikat.

Beliau juga pernah mengikuti Program Kepemimpinan Strategik di Saïd Business School, University of Oxford dan Meja Bulat CEO IMD di Lausanne, Switzerland pada tahun 2013.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam industri telekomunikasi yang merangkumi lebih dari 30 tahun, bermula di Telekom Malaysia Bhd (TM) di mana beliau berkhidmat selama 13 tahun sebelum menjawat jawatan penting di beberapa syarikat multinasional seperti Global One Communications dan Lucent Technologies (Malaysia) Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Pada tahun 2005, beliau kembali ke TM sebagai Naib Presiden Kanan, Strategi dan Teknologi Kumpulan dan dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Malaysia, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan pada bulan April 2008 sehingga bersara dari TM pada 30 April 2017.

Mengulas mengenai persaraan Mohaiyani, Abdul Farid berkata, pihak Lembaga Pengarah dan pengurusan berterima kasih atas kebijaksanaan dan bimbingan beliau selama sembilan tahun perkhidmatannya.

Katanya, beliau memiliki pengalaman kerja yang sangat berwibawa dan perspektifnya di dalam industri perkhidmatan kewangan adalah amat dihargai, di mana beliau dengan rela telah berkongsi dengan kumpulan.

"Beliau juga seorang pemimpin yang memberi inspirasi dengan mengangkat misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, dan memotivasikan kami pada setiap kesempatan untuk kekal patuh kepada tujuan kami dalam semua aspek perniagaan.

"Yang paling penting, beliau terus mencabar kami untuk berusaha dengan lebih gigih, melalui contoh komitmen dan dedikasinya kepada Kumpulan Maybank. Bagi pihak 43,000 warga Maybank di seluruh dunia, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada beliau dan semoga persaraannya diberkati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 7:37 PM