ANTARA aktiviti luar yang disediakan bagi memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak Tadika Integrasi Genius Khalifah.
ANTARA aktiviti luar yang disediakan bagi memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak Tadika Integrasi Genius Khalifah.
Oleh Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Tadika Integrasi Genius Khalifah menyasarkan tempoh 10 tahun untuk cawangannya beroperasi di setiap negeri di seluruh Semenanjung sebelum memasuki Sabah dan Sarawak.

Pengasasnya, Anizah Samah berkata, ketika ini enam cawangan sudah dibuka di Selangor khususnya sekitar Shah Alam dan Klang selepas tadika pertama dilancarkan kira-kira 25 tahun lalu di Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam.

Jelasnya, lima lagi cawangan dijangka mula beroperasi Disember ini bagi sesi pengambilan 2021 yang disasar menjadi perintis kepada sistem francais bagi rangkaian tadika terbabit.

"Susulan permintaan banyak pihak yang berminat menjadi francaisi kami sejak sekian lama, kita mula mendalami sistem ini dan alhamdulillah perincian serta dokumentasi mengenainya sudah berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

"Insya-Allah apabila proses ini selesai, kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil peluang ini dengan pakej francais yang amat berpatutan bagi operasi tadika.

"Pada peringkat awal pelaksanaan francais, sasaran lokasi biar di Lembah Klang terlebih dulu bagi membolehkan kami memantau operasi sebelum ia diperluas," katanya.

Dalam pada itu, Anizah berkata, pihaknya kini dalam proses untuk memperkenalkan program Little Scientist sendiri yang akan menawarkan kadar yuran lebih berpatutan.

Malah, kaedah hands on yang menjadi kekuatan tadika itu juga akan ditambah baik bagi memastikan setiap kanak-kanak tidak terlepas apa saja peluang pembelajaran yang penting dan menarik.

"Selain pengkhususan sudut seperti kemahiran diri, seni dan kraf, serta main peranan, kanak-kanak juga akan digalakkan memakai pakaian pekerjaan pada setiap Selasa.

"Memandangkan tadika kita juga berkonsepkan tahfiz, ada enam level hafazan yang disediakan buat mereka di mana semua ini juga tentunya akan tersedia di semua cawangan francais Tadika Integrasi Genius Khalifah nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:01 AM