PERBELANJAAN penanaman semula bagi kawasan 15,000 hektar itu mencecah sehingga RM300 juta setahun.
PERBELANJAAN penanaman semula bagi kawasan 15,000 hektar itu mencecah sehingga RM300 juta setahun.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih belum menghubungi FGV Holdings Bhd bagi memulakan rundingan mengenai Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

FGV dalam kenyataan berkata, di bawah terma perjanjian, penamatan LLA dibolehkan.

"Sekiranya Felda mengeluarkan notis mengenai perkara ini, FGV akan mengikut prosedur yang digariskan dalam LLA.

"Aset yang terbabit dalam LLA membabitkan estet, tetapi tidak termasuk kilang sawit FGV," katanya.

Menurutnya, jika Felda ingin membeli kilang sawit FGV, ia sepatutnya dibuat berdasarkan 'kerelaan pembeli serta penjual' dan mengikut nilai pasaran semasa yang memerlukan kelulusan pemegang saham melalui mesyuarat agung luar biasa.

"Kami juga ingin menjelaskan mengenai kenyataan dibuat oleh Felda, yang menyatakan sebelum tawaran awam permulaan (IPO) pada 2012, Felda mempunyai keuntungan melebihi RM1 bilion dan selepas kewujudan FGV sebagai syarikat senaraian awam, Felda mengalami kerugian setiap tahun dan jumlah hutangnya meningkat.

"Apabila LLA ditandatangani pada 2011, harga minyak sawit mentah sekitar RM3,000 setan dan unjuran pendapatan Felda (melalui LLA) berpaut pada harga RM2,800 setan.

"Harga MSM memainkan peranan paling penting dalam menentukan keuntungan atau kerugian syarikat. Selepas IPO pada 2012, pembayaran FGV kepada Felda tidak memenuhi unjuran Felda disebabkan oleh penurunan harga MSM," katanya.

Katanya, perbelanjaan penanaman semula bagi kawasan 15,000 hektar itu mencecah sehingga RM300 juta setahun dan selain ini, kos pembajaan termasuk pemulihan memakan belanja RM300 juta secara tahunan.

"IPO FGV sering didakwa sebagai punca kegagalan dan kejatuhan Felda. Isu sebenar adalah penggunaan pendapatan daripada IPO, dan bukan IPO itu sendiri. Felda sudah memperolehi RM5.7 bilion daripada IPO manakala FGV mendapat RM4.5 bilion.

"FGV tidak boleh mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO. Malangnya untuk FGV, sebahagian daripada hasil kutipan ini tidak dilaburkan dengan baik. Sehingga akhir 2018, FGV telah membuat kemerosotan besar berjumlah RM780 juta bagi pelaburan baharu terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:20 AM