Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Komark Mask (M) Sdn Bhd, anak syarikat Komarkcorp Bhd (Komark) menerima akreditasi ISO dari pengawal selia, sebagai pengesahan premis, kemudahan dan standard pembuatannya menepati kehendak Sistem Pengurusan Kualiti Antarabangsa bagi Peranti Perubatan.

Menerusi persijilan itu, Komarkcorp yang bakal menjadi pengeluar pelitup muka pembedahan pakai buang terakreditasi dijangka meningkatkan tahap pengeluaran dan memiliki jenamanya sendiri.

Komark dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak dua kali ganda berbanding 3.5 juta pelitup muka sebulan ketika ini menerusi penambahan dua rangkaian mesin, manakala dua lagi dijangka siap dipasang pada Disember ini.

Beberapa bulan lalu, Komark mengumumkan penerokaan bidang pengeluaran pelitup muka di mana ia merancang mengeluarkan jenama sendiri bagi pasaran tempatan dan serantau termasuk menggunakan rangkaian operasinya di Thailand, Singapura dan Indonesia bagi memenuhi permintaan tinggi ketika ini.

"Dengan akreditasi ISO termasuk pengeluaran Peralatan Perlindungan Diri (PPE), Komark juga merancang untuk mempelbagaikan pengeluaran termasuk PPE bagi meraih manfaat di atas peningkatan permintaan semasa produk itu disebabkan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia," katanya.

Pasaran global pelitup muka bernilai AS$4.4 bilion (RM18.2 bilion) pada 2019, dengan pertumbuhannya dijangka mencecah AS$31.8 bilion (RM131.7 bilion) menjelang 2027, membabitkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 24.5 peratus sebagaimana diterbitkan Polaris Market Research.

"Dengan pandemik Covid-19 dijangka mencecah paras baharu dalam tempoh beberapa bulan pada musim dingin akan datang, permintaan diunjurkan melonjak dengan ketara," demikian menurut kenyataan itu.

Komark mengumumkan rancangannya untuk mewujudkan sehingga 30 barisan pengeluaran pelitup muka dalam tempoh 24 bulan akan datang, termasuk pelitup muka pembedahan tiga lapis dan pelitup muka KN95 dengan sasaran pengeluaran tahunan mencecah 522 juta unit topeng muka tiga lapis dan 120 juta KN95.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Komark, Koh Chie Jooi berkata, dengan perang dagang yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dengan China, wujud keperluan mendesak ke atas pelitup muka bukan buatan China.

"Ia menyediakan peluang terbaik kepada kami untuk menjadi peserta global menerusi pelitup muka buatan Malaysia tanpa berkompromi dengan kualiti untuk dieksport ke negara Barat," katanya.

Chie Jooi berkata, Komark juga akan meninjau segera pelaksanaan pengeluaran PPE untuk menambah kepelbagaian operasi pengeluarannya.

"Secara logiknya, permintaan untuk pelitup muka juga akan meningkat seiring dengan permintaan ke atas PPE dan kami akan mempertimbangkan untuk menambahkan produk berkenaan ke dalam portfolio kami untuk menjadi penyedia penyelesaian peralatan perubatan sekali pakai untuk pasaran tempatan dan eksport," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 1:46 PM