BAJET kali ini mungkin berbeza dengan yang sebelumnya kerana banyak sektor di negara ini menghadapi kesukaran.
BAJET kali ini mungkin berbeza dengan yang sebelumnya kerana banyak sektor di negara ini menghadapi kesukaran.

SEKTOR kritikal dan perniagaan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 perlu mendapat tumpuan khusus dalam Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, 6 November depan.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Azali Mohamed berkata, secara umum, tahap keprihatinan kerajaan terhadap golongan terjejas akibat wabak Covid-19 wajar dipuji, namun rekod baik itu mesti diteruskan lagi pada pascabelanjawan 2021.

Katanya, belanjawan kali ini mungkin berbeza dengan yang sebelumnya kerana banyak sektor di negara ini menghadapi kesukaran apabila musibah Covid-19 melanda dunia.

"Rakyat berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) serta peniaga kecil antara golongan memerlukan bantuan khusus secara bersasar kali ini.

"Bantuan berterusan ini perlu diberi supaya kuasa membeli dalam kalangan rakyat tidak merosot dan ekonomi domestik terus bergerak," katanya, semalam.

Mengulas lanjut, Azali yang juga Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia berkata, selain bantuan kewangan, mekanisme lestari diperlukan dalam usaha memastikan ekonomi negara terus mampan.

Beliau berkata, sektor lain seperti pelancongan, kesihatan dan pendidikan misalnya memerlukan 'buah tangan' yang mempunyai ketahanan dalam menghadapi kejutan ekonomi.

Sebagai contoh, katanya, dalam sektor pendidikan, sekiranya membabitkan infrastruktur, perkara itu perlu diberi keutamaan supaya peruntukan yang mencukupi disalurkan untuk mendanai segala kemudahan bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran maya di institusi pendidikan kerajaan.

"Kemudahan ini bukan hanya boleh digunakan ketika negara menghadapi kecemasan umpama wabak penyakit berjangkit seperti Covid-19, tetapi berupaya dimanfaatkan sepanjang masa pada masa akan datang.

"Dana diperuntukkan harus bersifat berterusan dan boleh dioptimumkan sepenuhnya supaya kemudahan itu boleh terus digunakan dalam jangka masa panjang. Dalam masa sama pengurangan cukai juga perlu dipertimbangkan dan diperhalusi semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:00 AM