MAB terus melaksanakan penerbangan walaupun dalam keadaan pelaksanaan PKP Pemulihan dan PKP Bersyarat.
MAB terus melaksanakan penerbangan walaupun dalam keadaan pelaksanaan PKP Pemulihan dan PKP Bersyarat.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd (MAB) terus melaksanakan penerbangan walaupun dalam keadaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan PKP Bersyarat di negeri tertentu.

Setakat ini, syarikat penerbangan nasional itu membawa pulang lebih 20,000 penumpang kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAB,  Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pada masa sama, MAB turut melakukan penerbangan ke bandar baharu di luar rangkaian.

Katanya, ini termasuk destinasi di serata Asia, Timur Tengah, Eropah serta Afrika seperti  Cam Rahn, Sudan Selatan, Kaherah, Turkmenbashi, Turkmenabat, Dili, Nadi dan Port Moresby yang tidak banyak menawarkan penerbangan komersial.

"Setakat ini, MAB menjalankan 218 penerbangan menyelamat dan membawa pulang mereka terbabit menerusi perkhidmatan berjadual dan sewa khas sejak Mac 2020 dengan menggunakan pesawat jenis  A380, A350, A330-300 dan  B737-800.

"Ini termasuk 168 khidmat sewa khas menerusi kerjasama strategik dengan kementerian dan pertubuhan.

"Pengalaman sedemikian mencabar, namun menarik kerana membolehkan kami beroperasi di pasaran baharu dalam keadaan semasa yang memerlukan aspek keselamatan dan kesihatan serta kawalan sempadan lebih ketat di negara terbabit.

"Bagaimanapun, libat urus secara aktif dengan kedutaan, kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan dan pihak pengawalseliaan membolehkan misi itu disempurnakan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:15 AM