GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Gaji purata pekerja di Malaysia diunjurkan meningkat 4.5 peratus pada tahun hadapan.

Dalam Tinjauan Jumlah Imbuhan (TRS) yang dijalankan firma perunding kekayaan dan kerjaya, Mercer mendapati jumlah itu bagaimanapun berkurang daripada kadar 5.0 peratus yang diramalkan pada separuh pertama tahun ini.

"Walaupun syarikat di Malaysia meramalkan kenaikan gaji 5.0 peratus secara keseluruhan untuk tahun depan ketika ditinjau pada separuh pertama 2020, tinjauan terbaharu menunjukkan penurunan kepada 4.5 peratus dengan 14 peratus syarikat meramalkan pembekuan kenaikan gaji.

"Laporan ini berdasarkan TRS 2020 membabitkan 529 syarikat yang dibuat secara tahunan dan dijalankan antara April hingga Jun tahun ini. Tinjauan tambahan juga dibuat pada Julai dan Ogos lalu susulan perubahan pesat persekitaran pasaran," katanya dalam sidang media maya di sini, baru-baru ini.

Katanya, tinjauan itu juga mendapati gaji di Malaysia secara purata meningkat 4.7 peratus tahun ini di sebalik cabaran yang dicetuskan oleh Covid-19.

Namun katanya, hampir dua daripada 10 syarikat melaporkan sudah membekukan kenaikan gaji.

"Ini menandakan buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, kenaikan gaji secara keseluruhan jatuh di bawah paras 5.0 peratus.

"Jangkaan kenaikan gaji ini didukung oleh unjuran ekonomi Malaysia yang lemah dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup antara 3.5 hingga 5.5 peratus tahun ini dan tekanan berterusan terhadap perniagaan untuk memastikan pengurangan kos di tengah ketidaktentuan yang disebabkan Covid-19," katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mercer di Malaysia, Godelieve van Dooren berkata, perniagaan mungkin akan lebih berhati-hati serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap strategi pampasan mereka, bergantung hala tuju yang dibawa pandemik.

"Ini berita baik buat pekerja memandangkan inflasi yang perlahan juga akan memberikan dorongan kepada peningkatan gaji sebenar.

"Namun dari sudut lain, disebabkan ketidaktentuan ini, syarikat mungkin menangguhkan kenaikan gaji atau merendahkan bajet dengan lebih lanjut, bergantung kepada segmen industri syarikat itu.

"Pada akhirnya kebolehupayaan kekal menjadi kunci penting dalam menentukan bajet gaji," katanya pada sidang media maya di sini.

Dalam pada itu mengulas trend bekerja dari jarak jauh, Godelieve berkata, ia dilihat tidak menjejaskan produktiviti pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:12 AM