KESAN pandemik terhadap ekonomi lebih teruk kepada rakyat berbanding kesan Covid-19 itu sendiri.
KESAN pandemik terhadap ekonomi lebih teruk kepada rakyat berbanding kesan Covid-19 itu sendiri.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Satu pelan tindakan khas membabitkan pandangan dari pelbagai pihak seperti dewan perniagaan, persatuan bank dan ahli akademik perlu disediakan segera bagi menghadapi impak Covid-19 terhadap ekonomi.

Pengasas Hijrahwealth Management Sdn Bhd dan Perunding Kewangan Islam, Rohani Mohd Shahir berkata, sektor swasta seperti penerbangan, perhotelan, pelancongan, peniaga warung dan pasar malam perlu diberi bantuan dari segi kewangan serta bimbingan.

"Kakitangan yang terpaksa diberhentikan dari sektor ini semua perlu dibimbing masuk dalam sektor yang bakal meningkat permintaan seperti teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).

"Padanan carian kerja melalui online (dalam talian) juga boleh dibuat supaya sistem pemilihan lebih mudah.

"Malah, pada pandangan saya mungkin kita terlalu over dalam menangani situasi kerana sebaik mungkin tidak perlu penutupan sektor ekonomi.

"Justeru penekanan perlu dibuat dari segi meningkatkan kebersihan dan ketahanan diri rakyat," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, berdasarkan unjuran dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana kira-kira 2.4 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan dan lebih 1.26 juta rakyat dijangka alami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan perlu diberi perhatian khusus.

Beliau berkata, melihat kepada unjuran itu, jelas kesan pandemik terhadap ekonomi lebih teruk kepada rakyat berbanding kesan Covid-19 itu sendiri.

"Perkara ini perlu dikaji dengan lebih saintifik, sebagai contoh lihat apa yang berlaku terhadap Amerika Syarikat dengan ramai rakyatnya rumah dilelong dan terpaksa menjadi gelandangan.

"Kita tidak ingin situasi sebegitu berlaku di Malaysia dan hakikatnya fakta jangkitan Covid-19 yang diumumkan setiap hari dilihat tidak membantu psikologi rakyat, malah mereka menjadi lebih tertekan.

"Selain itu, bantuan kewangan kerajaan tidak perlu diberi secara menyeluruh, seharusnya lebih bersasar dan gunakan teknologi AI bagi mendapatkan data mereka yang benar-benar terkesan supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 8:01 AM