FGV Holdings Bhd (FGV) dijangka kekal sebagai syarikat perladangan utama dunia.
FGV Holdings Bhd (FGV) dijangka kekal sebagai syarikat perladangan utama dunia.
Mohd Zaky Zainuddin


FGV Holdings Bhd (FGV) dijangka kekal sebagai syarikat perladangan utama dunia meskipun cadangan pengambilalihan semula kira-kira 350,000 hektar tanah pajakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjadi kenyataan.

Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikan berkata, jika cadangan itu dimuktamadkan, FGV bakal menerima bayaran pampasan RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion, sekali gus membolehkannya mengambil alih tanah ladang berpotensi lain.

Katanya, nilai pampasan itu selaras jangkaan Felda memiliki kemampuan untuk membayar pampasan kepada FGV berikutan cadangannya menerbitkan sukuk yang dijamin kerajaan bernilai RM9.9 bilion.

"FGV juga masih memiliki kilang kelapa sawit dan jarak lokasi kemudahan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) Felda, jadi kami berpendapat, peneroka Felda akan terus menjual tandan buah segar (FFB) kepada FGV.

"Justeru, jumlah FFB yang akan diproses FGV juga tetap sama bergantung kepada jumlah yang dihasilkan peneroka Felda," katanya.

Tahun lalu, FGV memproses 14.9 juta tan FFB, di mana 30 peratus daripadanya milik syarikat, baki 44 peratus dan 26 peratus lagi masing-masing daripada Felda dan pihak ketiga.

Pertengahan bulan ini, memetik kenyataan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh, Felda bercadang mengambil semula tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Langkah itu sebahagian daripada transformasi yang ingin dijalankan Felda menerusi pengenalan model perniagaan baharu yang lebih mapan dan berdaya saing untuk agensi itu.

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju dan merestui cadangan Felda dan ia sudah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet.

Sehubungan itu, Kabinet meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan Pasukan Petugas Khas.

Namun, Felda perlu meneroka bidang perniagaan baharu seperti pembangunan hartanah untuk mewujudkan sumber pendapatan berdaya maju bagi memastikan ia mampu memenuhi komitmen kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun untuk melunaskan pembayaran sukuk yang diterbitkannya.

FGV dalam satu kenyataan pula menegaskan ia belum menerima notis bertulis berkenaan penamatan LLA daripada Felda.

Affin Hwang Capital berkata, ia menjangkakan proses penamatan perjanjian dan penentuan jumlah pampasan akan mengambil masa 18 bulan untuk diselesaikan selepas FGV menerima surat rasmi daripada Felda.

"Kami menjangkakan impak kepada perolehan FGV adalah minimum bergantung sama ada Felda memutuskan untuk menjual FFB kepada FGV atau sebaliknya.

"Namun, rantaian nilai bersepadu perladangan FGV lain dalam perniagaan pertengahan dan hiliran kekal tidak terganggu dengan penamatan LLA ini," katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, ia menjangkakan jumlah simpanan tanah FGV menyusut sekitar 80 peratus kepada 89,000 hektar selepas penamatan LLA dengan impak berpotensi ke atas bekalan FFB mungkin sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:00 AM