RAKYAT Malaysia sebenarnya suka, minat dan mahu berniaga.
RAKYAT Malaysia sebenarnya suka, minat dan mahu berniaga.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang membenarkan rakyat terutama golongan yang berdepan masalah kewangan kerana diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19 supaya mereka dapat berniaga melalui satu skim khas.

Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia, Dr Rosmah Mohamed yang mencadangkan inisiatif itu berkata, skim berkenaan boleh dikenali sebagai Skim Berniaga Rakyat Malaysia (SBRM).

Beliau berkata, skim itu bertujuan membantu mereka yang tiada pekerjaan untuk menjadi peniaga pasar malam atau penjaja dengan menggunakan lesen berniaga sementara dan tidak dikenakan bayaran dan syarat yang ketat.

Katanya, menerusi inisiatif itu, kedudukan kewangan mereka bertambah baik dan seterusnya meningkatkan jumlah pembabitan rakyat Malaysia dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. 

"Hakikatnya, pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan ketara kepada golongan peniaga, penjaja serta usahawan mikro, malah golongan pekerja.

"Justeru, selain skim itu, latihan perniagaan digital berbentuk jangka pendek dan secara berterusan hendaklah disediakan oleh pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan lain-lain kementerian atau jabatan berkaitan untuk membantu peniaga dan penjaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam perniagaan digital.

"Latihan perniagaan digital ini harus meliputi kesemua lima elemen asas dalam perniagaan digital iaitu laman web, e-dagang, media sosial, medium komunikasi dan tempat pasaran (seperti Lazada, Shopee dan Zalora)," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, latihan berkenaan juga dijangka dapat membantu peniaga dan penjaja meningkatkan hasil jualan mereka dan seterusnya mengekalkan perniagaan mereka melalui strategi perniagaan dalam talian yang berkesan.

"Rakyat Malaysia sebenarnya suka, minat dan mahu berniaga. Mereka mempunyai kemahiran berniaga termasuk di pasar malam dan mempunyai sedikit modal untuk berniaga.

"Bagaimanapun, halangan utama bagi mereka pada masa sekarang ialah kekurangan pelanggan rentetan daripada perintah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:50 AM