AZRUL Osman Rani.
AZRUL Osman Rani.

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd merosot kepada RM212.66 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2020 daripada RM239 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Hasil berkurangan kepada RM4.83 bilion berbanding RM7.80 bilion manakala pendapatan asas sesahamnya turun kepada 21.40 sen berbanding 24.10 sen.

Mengulas mengenai prestasi syarikat, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, syarikat itu menjangkakan wujud sedikit impak kepada volumnya pada suku akan datang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kebanyakan negeri.

"Memandangkan pandemik ini akan kekal menjadi cabaran yang berterusan, kami mempercepatkan kepelbagaian portfolio produk supaya perniagaan terus bertahan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Azrul berkata, pada suku ketiga bagi tahun kewangan 2020, Petronas Dagangan menjadi penyedia penyelesaian Gas Asli Cecair (LNG) yang pertama menggunakan trak jalan untuk pelanggan di luar kawasan kemudahannya di Semenanjung Malaysia berikutan siapnya penyelesaian sistem saluran paip maya (VPS) oleh Petronas Energy & Gas menerusi Terminal Regasifikasi (RGT) Pengerang di Johor.

Menerusi penyelesaian VPS, Petronas Dagangan kini berkeupayaan menghantar LNG menggunakan trak yang dilengkapi tangki kriogenik, menyediakan akses tenaga bersih kepada industri yang tidak dihubungkan dengan infrastruktur gas asli di Semenanjung Malaysia.

"Petronas Dagangan kini turut memasarkan LNG sebagai pilihan bahan bakar lebih bersih kepada industri marin susulan selesainya operasi pemindahan pengisian LNG kapal ke kapal yang pertama daripada MV Avenir Advantage, kapal pengisian LNG (LBV) pertama Petronas ke SIEM Aristotle di Pasir Gudang, Johor yang dicapai menerusi kerjasama dengan Titan LNG.

"Baru-baru ini iaitu pada Oktober lalu, Petronas Dagangan melancarkan [email protected], sudut kedai makan baharu yang menawarkan makanan premium yang mudah, segar dan seimbang dengan harga yang berpatutan untuk menguasai pasaran lebih besar.

"Asas kami kekal kukuh dan kami akan terus memperluaskan tawaran untuk memenuhi permintaan dalam norma baharu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 7:50 AM