Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) - FOTO MITI
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) - FOTO MITI
Mohammad Asyraf Khalib

KUALA LUMPUR: Semua negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bersetuju untuk terus memberi tumpuan kepada kepentingan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 serta memastikan setiap negara mendapat akses sewajarnya kepada vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, semua pemimpin APEC mengambil berat dalam hal untuk melindungi ekonomi dan kehidupan setiap rakyatnya.

Katanya, APEC turut berikrar untuk tidak berpatah balik dan menggunakan langkah perlindungan perdagangan bagi mengekalkan pasaran dan sempadan terbuka.

"Keutamaan segera APEC adalah bagi memastikan kesediaan institusi penjagaan kesihatan dan perubatan untuk menyediakan rawatan kritikal serta menguruskan dasar kesihatan awam untuk membendung penularan Covid-19.

"Dari perspektif ekonomi, impaknya adalah sangat teruk dengan banyak syarikat dan perniagaan berdepan masalah termasuk menamatkan operasi.

"Selain itu, rantau ini juga menyaksikan kadar kehilangan pekerjaan yang amat besar.

"Justeru, tumpuan dan hal utama yang diberi fokus oleh semua pemimpin adalah pemulihan semula ekonomi yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

"Semua pemimpin juga bersetuju untuk semua negara berkongsi kepakaran dalam digitalisasi, khususnya ekonomi digital yang akan membantu mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi," katanya pada sidang media maya selepas Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di sini, kelmarin.

Beliau berkata, tanggungjawab APEC tahun ini memberi tumpuan kepada kepentingan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

"Tidak kurang pentingnya ialah mempercepatkan kerja membangunkan vaksin Covid-19 dan menjadikannya produk awam global, yang boleh didapati dan mampu milik kepada semua, iaitu vaksin yang multilateral," katanya.

Image

Muhyiddin berkata, skala impak yang besar daripada pandemik terhadap ekonomi APEC boleh menyebabkan pertumbuhan serantau merosot sebanyak 2.7 peratus pada 2020, berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada 2019, menjadikannya penurunan paling ketara sejak kadar pertumbuhan hampir sifar dicatatkan pada 2009 semasa krisis kewangan global.

Bagi vaksin Covid-19, katanya semua pemimpin APEC sudah menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain bagi akses yang saksama kepada vaksin. 

"Gesaan penting kepada tindakan ialah Deklarasi mengenai Memudahcara Pergerakan Barangan Keperluan di APEC, yang dipelopori oleh Malaysia.

"Deklarasi ini bertujuan memastikan barangan perlu dapat melalui sempadan tanpa kekangan membabitkan langkah perdagangan yang tidak adil.

"Pengisytiharan ini akan membawa kepada aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif dalam kalangan ekonomi APEC menerusi sistem perdagangan terbuka, cemerlang, telus serta mampan," katanya.

Sementara itu, APEC menyasarkan untuk menjadi komuniti Asia Pasifik terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040.

Visi Putrajaya APEC 2040, menjadi visi yang menggantikan Matlamat Bogor, sejajar bagi komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040, termasuk untuk kemakmuran semua rakyatnya dan generasi akan datang.  

APEC dalam satu kenyataan mengenai Visi Putrajaya APEC 2040 berkata, ia akan terus komited kepada misi APEC dan prinsip suka rela, tidak terikat dan konsensusnya.   

Visi itu akan dicapai dengan menggerakkan tiga pemacu ekonomi iaitu perdagangan dan pelaburan; inovasi dan pendigitalan; serta pertumbuhan yang padu, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif.   

"Kami mengakui kepentingan ini dan akan terus bekerjasama menyediakan persekitaran yang bebas, terbuka, tiada diskriminasi, telus dan perdagangan serta pelaburan yang boleh diramal.  

"Kami mengekalkan sokongan kami bagi peraturan yang disepakati Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)  dalam menyediakan sistem dagangan pelbagai hala yang berfungsi dengan baik dan menggalakkan kestabilan dan kebolehramalan aliran perdagangan antarabangsa," katanya.

Selain itu, APEC berkata, ia akan terus memudah cara Matlamat Bogor dan integrasi ekonomi di rantau ini dengan kaedah dipacu pasaran, termasuk melalui kerja mengenai agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) yang menyumbang kepada standard yang tinggi dan pelaksanaan serantau yang komprehensif. 

"Kami akan menggalakkan kesalinghubungan yang lancar, rantaian bekalan yang berdaya tahan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab," menurut APEC. 

Mengenai inovasi dan pendigitalan, APEC akan menerapkan persekitaran yang membina, antara lain, dipacu pasaran serta disokong oleh inovasi dan ekonomi digital. 

Bagi mengekalkan kedudukan unik APEC sebagai forum perdana kerjasama ekonomi serantau serta inkubator idea yang moden, efisien dan berkesan, APEC akan melaksanakan penambahbaikannya secara berterusan sebagai satu institusi menerusi tadbir urus baik serta libat urus pihak berkepentingan.

"Kita akan menjayakan Visi Putrajaya APEC 2040 menerusi semangat perkongsian yang sama, berkongsi tanggungjawab, saling menghormati serta kepentingan dan manfaat bersama.

 "Kita akan mencapai visi ini menjelang 2040 menerusi pelan pelaksanaan sewajarnya serta meneliti tahap kemajuannya," katanya.

Tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah APEC, kali kedua penganjuran Malaysia selepas tahun 1998.

Malaysia turut melakar sejarah sebagai ekonomi pertama yang menganjurkan APEC secara maya sepenuhnya dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertindak sebagai Sekretariat Kebangsaan APEC 2020.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 3:28 PM