TENAGA kerja tempatan perlu dilengkapkan dengan kemahiran digital bagi berdepan cabaran pandemik Covid-19.
TENAGA kerja tempatan perlu dilengkapkan dengan kemahiran digital bagi berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga kerja tempatan perlu dilengkapkan dengan kemahiran digital bagi berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Ia menyaksikan pengetahuan membabitkan analisis data, pemasaran digital, etika pekerjaan dalam talian dan isu mengenai keselamatan siber sebagai aspek yang amat penting.

Naib Presiden Bahagian Pembangunan Bakat, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Dr Sumitra Nair berkata, kemahiran digital juga penting untuk negara mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.

Katanya, kajian Randstad pada 2018 mendapati bahawa 89 peratus pekerja tempatan percaya mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk persekitaran digital.

"Laporan Huawei-SME Corp pada 2019 pula mendedahkan lebih separuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengakui tidak mempunyai tenaga kerja berkemahiran digital untuk menyokong proses pendigitalan masing-masing," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bagi membina semula dan memacu pasaran pekerjaan di Malaysia pada pasca Covid-19, kesedaran mengenai peluang pekerjaan dan pendapatan digital sangat penting.

"Walaupun, masyarakat berpendapatan sederhana dan tinggi dijangka akan mempunyai pendedahan yang lebih besar terhadap perubahan landskap pekerjaan dan kemahiran, kumpulan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar mungkin tidak memiliki peluang yang sama.

"Malah, mereka mungkin tidak menyedari kemahiran digital mampu membantu berdepan saat sukar.

"Oleh itu, ada keperluan untuk melaksanakan kempen kesedaran berskala besar serta pemberian subsidi membantu kumpulan kurang terlatih untuk melakukan peralihan ke pekerjaan yang memerlukan kemahiran digital," katanya.

Beliau berkata, pembelajaran secara dalam talian membolehkan pembangunan kemahiran secara lebih inklusif, lebih-lebih lagi dengan peningkatan mendadak amalan itu, sejak penularan wabak Covid-19.

"Selain aspek insfrastruktur dan peranti, kita juga memerlukan polisi yang memudahkan pembelajaran dalam talian dan juga kaedah penilaian serta peperiksaan yang sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan yang semakin menumpukan kemahiran berbanding penilaian akademik.

"Selain itu, latihan untuk guru dan pensyarah dalam penyampaian pembelajaran dalam talian secara interaktif perlu diperluaskan. Kita perlu memastikan lebih banyak pendekatan pembelajaran berasaskan projek bagi melahirkan pelajar dan graduan berkemahiran pembelajaran kendiri dan sepanjang hayat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 7:01 AM