FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

NILAI cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik (vape) terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau, kata MQ Consultant.

"Pengenaan cukai merupakan langkah pertama yang penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik dengan pasaran rokok elektronik di Malaysia diunjur muncul sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, dan berikutan perbezaan ketara antara kedua-duanya (rokok elektronik dan tembakau), satu kajian yang teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan.

"Kita tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

MQ Consultant adalah syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan yang terlibat dalam melakukan kajian mendalam terhadap industri rokok elektronik di Malaysia.

Percukaian ke atas industri rokok elektronik, sama seperti mana industri tembakau, adalah antara cadangan yang terdapat dalam Belanjawan 2021, yang disetujui pada Khamis lalu.

Seperti yang dibentangkan, kerajaan mencadangkan untuk mengenakan 10 peratus cukai ad valorem ke atas semua alat merokok elektronik dan bukan elektronik serta duti eksais 40 sen untuk setiap mililiter cecair rokok elektronik (dengan dan tanpa nikotin) akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.

"Namun, kadar yang dikenakan adalah jauh lebih rendah berbanding industri tembakau, sedangkan potensi kerajaan untuk meraih pendapatan adalah besar. Ini kerana ramai perokok tembakau dunia termasuk di Malaysia semakin beralih kepada rokok elektronik," kata MQ Consultant, yang menambahkan majoriti negara lain mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Katanya, melalui kajian dan maklumat yang sedang giat dikumpul di dalam dan luar negara, kerajaan boleh menggunakan rokok elektronik sebagai cara mewujudkan masyarakat bebas asap rokok yang diakui memudaratkan perokok dan juga orang ramai.

"Usaha ini bukanlah sekadar satu eksperimental semata-mata, kerana kerajaan New Zealand sendiri telah berbuat demikian dalam usaha mencapai matlamatnya menjadikan negara pulau itu bebas asap rokok pada tahun 2025.

"Dengan mengadakan peraturan percukaian, satu situasi yang menguntungkan semua pihak boleh diwujudkan, ia bukan hanya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara tetapi juga membantu usaha kerajaan dalam menambah baik kehidupan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang," katanya.

Sementara itu, tinjauan bebas menganggarkan terdapat tiga juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:45 PM