PERODUA berjaya menjual 5,027 unit kenderaan pada hari terakhir November lalu.
PERODUA berjaya menjual 5,027 unit kenderaan pada hari terakhir November lalu.
Oleh Lizam Ridzuan


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencipta satu lagi rekod baharu apabila menjual 5,027 unit pada hari terakhir November lalu, sekali gus menjadi angka jualan harian tertinggi yang pernah dicatatkan sepanjang penubuhannya.

Pencapaian jualan harian tertinggi berkenaan menyaksikan pengeluar kereta nasional itu meneruskan momentum jualan positif bulan lalu sebanyak 23,119 unit, sekali gus menghampiri sasaran jualan akhir tahunannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan yang dicatatkan pada November sedikit normal berbanding pencapaian dua bulan sebelumnya di mana pengeluar itu masing-masing menjual 25,035 dan 26,852 unit pada September lalu dan Oktober lalu.

"Namun, pencapaian ini mengagumkan di sebalik keadaan ekonomi yang mencabar dan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu akibat Covid-19.

"Rekod seharian 5,027 unit membuktikan ketahanan, ketekunan dan kebolehan menyesuaikan diri mampu membuahkan hasil," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berdasarkan jualan 6,295 unit Myvi, 6,318 unit (Axia), 6,224 unit (Bezza), 2,617 unit (Aruz) dan 1,665 unit (Alza) pada November lalu, jualan yang dicatatkan Perodua setakat tahun ini mencecah 195,000 unit.

Zainal Abidin berkata, berdasarkan momentum jualannya, Perodua berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran akhir tahunnya iaitu pendaftaran sebanyak 210,000 unit.

"Dua keutamaan Perodua pada masa ini untuk memastikan seramai mungkin pelanggan kami dapat menerima kenderaan mereka sebelum akhir tahun bagi menikmati harga tanpa cukai jualan serta untuk terus menyokong ekosistem automotif Malaysia dengan skala ekonomi kami pada masa yang sukar ini.

"Lebih 90 peratus daripada komponen kami diperoleh secara tempatan dan ditambah dengan jumlah jualan kami, ia menjana perniagaan yang signifikan bagi pembekal tempatan dan membantu mereka mengekalkan pekerjaan," katanya.

Menurutnya, kenderaan Perodua diedarkan melalui rangkaian jualan terbesar di Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga bebas yang mendapat manfaat daripada jualan kenderaan syarikat itu selain turut menawarkan servis dan pembaikan.

"Perodua amat bangga memikul tanggungjawab ini terhadap negara dan akan terus memenuhi keperluan mobiliti seluruh rakyat Malaysia dengan kenderaan berkualiti yang selamat, praktikal, cekap bahan api dan menawarkan nilai terbaik, sambil membawa teknologi maju kepada orang ramai pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:05 AM