ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 2.02 sen seunit bagi dana ASN untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020. FOTO Bernama
ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 2.02 sen seunit bagi dana ASN untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana Amanah Saham Nasional (ASN) sebanyak 2.02 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, ia membabitkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM36.6 juta.

"Pengagihan pendapatan ini memberikan hasil dividen 3.18 peratus berdasarkan jangkaan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 31 Disember 2020.

"Pembayaran ini akan memberi manfaat kepada 1.21 juta pemegang unit dengan jumlah pelaburan melebihi 1.8 bilion unit.

"Setakat 30 November 2020, ASN mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM44.3 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN adalah berdasarkan unit yang dipegang setakat 31 Disember 2020.

"Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021, berdasarkan NAB seunit pada 31 Disember 2020.

"Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember 2020 hingga 3 Januari 2021 untuk memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

"Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 4 Januari 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 1:07 PM