BERNAMA

Kuala Lumpur: Negara mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan sekiranya perlu dilaksanakan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan juga sudah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendukung rakyat dan perniagaan selama tempoh ini.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.

"Asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan untuk bertindak secara berkesan terhadap persekitaran yang penuh cabaran, serta terus mempertahankan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, beliau menegaskan kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kelestarian jangka panjang bagi kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara.

"Kerajaan ingin memberikan jaminan kepada semua rakyat Malaysia dan pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan yang teratur, termasuk pasaran kewangan dan pasaran modal.

"Pasaran modal Malaysia akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudahcara proses pengumpulan dana, perdagangan dan pelaburan dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP/PKPB/PKPP dan Ordinan Darurat.

"Kesinambungan operasi pasaran modal ini penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia, serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh ini," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, disokong oleh kecairan yang tinggi.

"Mekanisme pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal turun naik. Dana pelepasan, serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan sentiasa terurus.

"Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bersama Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan, berdasarkan kesesuaian," katanya.

Menurutnya, dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan diteruskan seperti biasa dengan perkhidmatan yang terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam.

"Bank Negara Malaysia memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi, serta keadaan pasaran kekal teratur," katanya.

"Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi dalam tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan pelbagai variasi PKP ini," katanya.

Memandang ke hadapan, katanya kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di atas landasan pemulihan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:42 AM