PERKHIDMATAN disediakan Grab beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PERKHIDMATAN disediakan Grab beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Perkhidmatan disediakan Grab iaitu penghantaran makanan, barangan basah, penghantaran dokumen dan surat ekspres serta pengangkutan akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, fokus utamanya untuk terus melindungi pendapatan pemandu, penghantar, peniaga serta pada masa yang sama untuk melindungi kesihatan keselamatan masyarakat.

"Sejak pelaksanaan PKP tahun lalu, kami mengambil langkah untuk mempercepat penggunaan teknologi digital bagi membantu melindungi masyarakat, kami akan terus melipatgandakan usaha berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari mulai 13 hingga 26 Januari.

Enam negeri lain, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sementara Perlis dan Sarawak akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi tempoh yang sama.

Goh berkata, masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, Grab menyokong usaha memerangi Covid-19.

"Sebagai syarikat tempatan, kami bersedia bergabung dengan sektor awam, rakan industri dan masyarakat untuk membantu memulihkan ekonomi negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:10 AM