NOR Zahidi Alias (kiri) dan Gan Wee Beng. FOTO ihsan BNM
NOR Zahidi Alias (kiri) dan Gan Wee Beng. FOTO ihsan BNM
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Nor Zahidi Alias sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari BNM untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Jan lalu.

BNM turut mengumumkan pelantikan semula Datuk Dr Gan Wee Beng bagi jawatankuasa sama, berkuat kuasa 1 April 2021 untuk tempoh dua tahun.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, Nor Zahidi Alias ialah bekas Ketua Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) dan pada peringkat awal kerjayanya, beliau berkhidmat di The New Straits Times Press (M) Berhad sebagai penganalisis kanan sebelum menyertai Kuala Lumpur City Securities sebagai ahli ekonomi.

"Sebelum bertugas di MARC, beliau adalah Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance.

"Nor Zahidi berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Boston University," katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Gan Wee Beng pula adalah anggota Jawatankuasa Dasar Monetari sejak 1 April 2019.

Beliau juga Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan pernah menjadi Ahli Lembaga di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta menyandang beberapa jawatan dalam CIMB Group termasuk sebagai Penasihat Perbankan Pelaburan dan Pengarah Eksekutif di CIMB Bank, CIMB Investment Bank dan CIMB Securities.

Sebelum ini, Dr Gan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi, Monetary Authority of Singapore dan perunding kepada Bank Dunia dan International Labour Organisation.

Beliau yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, serta Sarjana dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Malaya itu juga pernah menjadi Felow Penyelidikan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.

BNM berkata, pelantikan Nor Zahidi Alias dan pelantikan semula Datuk Dr Gan Wee Beng akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari.

Dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari akan dianggotai lapan orang ahli iaitu Gabenor, Nor Shamsiah Yunus, Timbalan Gabenor Abdul Rasheed,Ghaffour, Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Marzunisham Omar, Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz, Penolong Gabenor Dr Norhana Endut, Datuk Dr Gan Wee Beng dan Nor Zahidi Alias.

Mengikut Akta Bank Negara Malaysia 2009, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari.

Akta Bank Negara Malaysia 2009 juga memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:36 PM