GRAB akan menanggung semua kos untuk pesanan pengambilan sendiri yang dibuat melalui aplikasi Grab.
GRAB akan menanggung semua kos untuk pesanan pengambilan sendiri yang dibuat melalui aplikasi Grab.

GRAB Malaysia akan mengurangkan lagi had komisen sebanyak lima peratus untuk semua rakan peniaga Food dan Mart di seluruh negara mulai 13 Januari hingga 10 Februari 2021.

Pengurus Urusannya, Sean Goh berkata, Grab Malaysia komited untuk terus melindungi pendapatan ekosistem rakan kongsi, pemandu, penghantar, peniaga dan masyarakat.

Katanya, seiring dengan penambahbaikan platform Grab, pihaknya ingin terus menyokong rakan peniaga untuk berkembang.

"Dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk perniagaan dan restoran, kami sudah memulakan inisiatif berikut bagi membantu rakan peniaga di platform Grab untuk berkembang terutama dengan kehilangan pelanggan yang mengunjungi kedai mereka, sambil memastikan masyarakat masih boleh memperoleh keperluan harian mereka dengan selamat, mudah dan berpatutan.

"Selain itu, untuk terus menyokong rakan restoran kami, mulai 13 Januari hingga 10 Februari 2021, Grab akan menanggung semua kos untuk pesanan pengambilan sendiri yang dibuat melalui aplikasi Grab dan menawarkan tanpa caj komisen buat sementara waktu jika pelanggan memilih untuk mengambil pesanan makanan mereka sendiri.

"Pesanan ambil sendiri akan membolehkan prapesanan tanpa sentuhan dan pengambilan tanpa tunai untuk membantu operasi kedai yang lebih selamat," katanya dalam kenyataan.

Goh berkata, pihaknya juga membawa kembali kempen Local Heroes untuk meningkatkan kesedaran dan kehadiran mereka melalui pelbagai saluran pemasaran dan digital.

Menurutnya, tahun lalu, peniaga yang mengambil bahagian dalam kempen itu menyaksikan peningkatan penjualan sehingga 43 peratus dan pihaknya yakin ini akan membantu meningkatkan kesedaran mengenai perniagaan mereka pada kali ini.

Beliau berkata, selain itu, dengan platform GrabMerchant yang diperbaharui, rakan peniaga juga akan mempunyai lebih autonomi untuk menguruskan kedai dalam talian mereka terutama jika kehabisan stok atau tidak dapat memenuhi pesanan.

"Di samping itu, rakan peniaga kami juga dapat memanfaatkan saluran media sosial untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dengan pautan dalam unik (link) yang dihasilkan sendiri melalui platform GrabMerchant.

"Selari dengan usaha kami untuk menyokong peniaga kecil bebas dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),

kami sudah mengurangkan kos penghantaran untuk peniaga Food dan Mart yang terpilih dan berdekatan serendah 50 sen.

"Mereka amat memerlukan sokongan kami pada saat

ini dan sebagai rakyat Malaysia, kita berharap usaha ini tidak akan terhenti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:00 AM