BANYAK premis perniagaan terjejas teruk akibat banjir.
BANYAK premis perniagaan terjejas teruk akibat banjir.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) terus prihatin dalam membantu koperasi terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara menerusi pemberian Bantuan Kecemasan Koperasi sebanyak RM30,000.

   Koperasi yang terjejas layak menerima bantuan terbabit sehingga RM30,000, bagi setiap koperasi.

   Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain bencana banjir, aktiviti koperasi juga sebelum ini turut terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat penularan Covid-19.

   "Ini memberikan kesan kepada kebajikan 6.1 juta ahli koperasi seluruh negara.

   "Sehingga 15 Januari 2021, dianggarkan RM3.2 juta kerugian membabitkan 73 koperasi terjejas merangkumi negeri seperti Pahang (40 koperasi), Kelantan (tiga koperasi), Terengganu (sembilan koperasi), Johor (sembilan koperasi), Sarawak (dua koperasi), Sabah (dua koperasi), Perak (dua koperasi), Negeri Sembilan (satu koperasi), Melaka (satu koperasi) dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (satu koperasi, projek atau aset koperasi di Raub, Pahang).

  "Sehubungan itu, Medac melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus proaktif membantu koperasi terjejas teruk akibat banjir dengan menyediakan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

   Menurutnya, seperti peruntukan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007, bantuan kecemasan ini digunakan koperasi sebagai pampasan sewajarnya ke atas kerosakan premis, aset atau produknya akibat bencana alam atau faktor luar kawalan.

   Beliau berkata, pemberian itu diharap dapat membantu koperasi membangunkan semula aktiviti ekonomi serta mengurangkan beban koperasi terjejas akibat bencana alam itu.

  Selain itu, SKM turut menyediakan Bantuan Pembangunan Koperasi dan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) Tanpa Cagaran apabila keutamaan permohonan diberikan kepada koperasi terjejas.

  "Sebagai kerajaan prihatin, Bantuan Kecemasan Koperasi ditawarkan sekurang-kurangnya dapat membantu koperasi meningkatkan kembali kapasiti koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan koperasi supaya terus menjadi penyumbang efektif kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 7:00 AM