KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

AMBANK terus komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan menawarkan pembiayaan bernilai RM100 juta menerusi Skim Jaminan PKS Sabah.

AmBank turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) yang bertindak sebagai penjamin kepada PKS di Sabah melalui skim terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, skim itu membantu PKS di Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerjasama strategik antara AmBank dan SDB itu menggambarkan komitmen bersama bagi memupuk dan mempromosikan pertumbuhan PKS.

"Kami memahami PKS begitu terkesan sepanjang Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

"Melalui inisiatif bersama ini kami harap dapat membantu PKS di Sabah menghadapi kesan kewangan akibat pandemik ini," katanya pada sidang media maya sempena majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan SDB di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung.

Sementara itu, Vincent berkata, kerjasama antara AmBank dan SDB adalah tepat pada masanya dan selari dengan inisiatif kerajaan Persekutuan dan negeri untuk terus menyokong sektor ekonomi.

Menurutnya, PKS memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara terutama dari segi sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan mencipta peluang pekerjaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada AmBank kerana mengambil inisiatif untuk mengembangkan skim ini dan kami berharap kerjasama ini akan menjadi landasan untuk terus berkolaborasi bagi masa hadapan," katanya.

Skim Jaminan PKS Sabah adalah kemudahan pembiayaan yang dirancang dengan objektif utama untuk menyediakan modal kerja, khusus untuk PKS di Sabah.

Kemudahan pembiayaan ini akan mula ditawarkan pada suku pertama 2021 dan pembiayaan dijangka diberikan kepada lebih 200 PKS atau sehingga jumlah pembiayaan itu habis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:55 AM