X
MOHD Muazzam   berkata, sejak Oktober 2020, hampir 24,000 permohonan diluluskan di bawah program itu.
MOHD Muazzam berkata, sejak Oktober 2020, hampir 24,000 permohonan diluluskan di bawah program itu.

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) membantu seramai 350,000 pelanggan individu dan perniagaannya menerusi kemudahan bantuan pembayaran semula pembiayaan membabitkan RM37.9 bilion baki anggaran pembiayaan dari 1 April hingga 31 Disember 2020.

Bank Islam juga sudah memberikan bantuan moratorium selama enam bulan dari April hingga September 2020 yang kemudiannya menjadi Program Prihatin Bersasar (PPB), khusus untuk pelanggan yang kehilangan pekerjaan serta mengalami pengurangan pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed (gambar) berkata, sejak pelaksanaan PPB pada Oktober 2020, hampir 24,000 permohonan dengan amaun baki pembiayaan berjumlah melebihi RM3 bilion diluluskan di bawah program itu.

"Sebagai bank yang bertanggungjawab, kami membantu pelanggan untuk menguruskan tuntutan kewangan mereka, terutamanya pada waktu yang mencabar ini.

"Bank Islam sudah berkomunikasi secara konsisten dengan pelanggan untuk menyediakan sokongan yang mereka perlukan.

"Kami kekal komited membantu pelanggan mendepani tempoh sukar ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bagi terus mengurangkan bebanan kewangan pelanggan, Bank Islam juga menyediakan pilihan Penjadualan dan Penstrukturan Semula Pembiayaan untuk pelanggan yang tidak mengalami kehilangan atau pengurangan punca pendapatan tetapi mempunyai keperluan untuk menyusun semula kewangan mereka.

"Kami amat menitikberatkan usaha untuk memelihara kebajikan pelanggan dan perniagaan Bank Islam dan pada masa sama turut memainkan peranan menyokong pemulihan ekonomi negara.

"Kami sentiasa bersedia menerima permohonan pelanggan dan menyeru supaya pelanggan tampil dan menghubungi bank untuk mendapatkan penyelesaian kewangan terbaik yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 7:30 AM