KWSP
KWSP
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan kaunter di cawangan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Jumaat ini (29 Januari).

Dana itu dalam kenyataan hari ini berkata, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anggota termasuk kakitangannya, KWSP akan terus menguatkuasakan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) berikut di cawangannya di seluruh negara.

Lawatan anggota hanya boleh dibuat menerusi kemudahan Janji Temu Online pada laman www.kwsp.gov.my dan mereka perlu melalui saringan suhu serta daftar masuk melalui MySejahtera sebelum memasuki premis cawangan dan mematuhi langkah penjarakan fizikal.

"Bagi meminimumkan risiko hubungan, anggota digalakkan untuk berurusan secara dalam talian melalui i-Akaun dan hanya hadir ke cawangan sekiranya terdapat keperluan," katanya.

Menurutnya, semua perkhidmatan kaunter di seluruh negara akan beroperasi mulai 8.30 pagi sehingga 3 petang bermula 1 Februari 2021 sehingga diberitahu kelak.

"Sambil memainkan peranan dalam membendung penularan Covid-19, KWSP ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota kami di atas kesabaran dan kefahaman mereka kerana kami ingin berkhidmat dengan sebaik mungkin melalui saluran fizikal serta elektronik.

"Kami kesal dengan sebarang kesulitan yang timbul," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 9:27 PM