GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilihat dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur, peniaga dan masyarakat untuk memastikan ekonomi negara kembali rancak.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, program pemvaksinan sememangnya suatu perkara penting dalam memastikan proses pembukaan ekonomi dapat berlaku dengan lebih meyakinkan.

Katanya, melalui pemvaksinan, antibodi yang dihasilkan dapat mengekang jangkitan dengan lebih tuntas dan ia sekali gus dapat meningkatkan keyakinan semua pihak.

"Justeru, proses pemulihan ekonomi dijangka akan lebih konsisten.

"Sekiranya pemulihan ekonomi terus berlaku, maka berlakulah permintaan buruh serta perbelanjaan modal dalam kalangan syarikat swasta.

"Selain itu, rangsangan ekonomi daripada dasar fiskal serta dasar monetari akan dapat membantu dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara pada 2021 dan tahun seterusnya," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dengan kelancaran pelaksanaan program pemvaksinan juga akan memberi keyakinan terhadap pelabur asing dan tempatan seterusnya memacu ekonomi negara.

Hari ini, Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 4:28 PM