PETRON Malaysia Refining & Marketing Bhd
PETRON Malaysia Refining & Marketing Bhd
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM42 juta pada suku keempat 2020, meningkat 45 peratus daripada RM29 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Pengerusi Petron Malaysia, Ramon S Ang berkata, jumlah jualannya pada suku keempat 2020, bagaimanapun, masih rendah berbanding suku sama 2019 ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, yang membataskan pergerakan dan aktiviti ekonomi.

Katanya, syarikat menjual 6.8 juta tong pada suku dikaji berbanding 9.2 juta tong yang dijual pada tahun sebelumnya.

"Pendapatan syarikat bagi suku dikaji menyusut 48 peratus kepada RM1.5 billion daripada RM2.9 billion pada tahun 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya terus melaksanakan penjimatan kos, di mana ia telah berjaya mengurangkan perbelanjaan operasinya sebanyak 12 peratus atau RM8 juta pada suku keempat.

"Penjimatan tahunan syarikat telah mencecah RM31 juta yang bersamaan dengan 11 peratus penjimatan perbelanjaan operasi (OPEX).

"Keputusan positif yang dicatatkan pada dua suku terakhir tahun 2020 membantu mengurangkan kerugian bersih Petron pada tahun ini kepada RM13 juta, sekaligus mengurangkan impak negatif semasa perintah berkurung yang dilaksanakan ekoran pandemik pada separuh pertama tahun lalu," katanya.

Katanya, berhadapan dengan pelbagai kekangan, termasuk krisis yang tidak pernah berlaku sebelumnya, telah mendorong pihaknya untuk mengkaji semula pelan dan strategi pada tahun 2020.

"Kami sedang beransur pulih daripada impak Covid-19 dan kami yakin akan bangkit daripada tempoh kesukaran sementara ini.

"Komitmen kami untuk terus memacu perkembangan dan pemulihan kekal kukuh di mana kita terus bersama Malaysia dalam usaha pemulihan negara," katanya.

Menurutnya, di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar, pihaknya bersama syarikat sekutunya telah membuka stesen baharu, menjadikan jumlah 720 stesen pada tahun 2020.

"Dalam fokus kami untuk mencapai pemulihan kewangan, usaha untuk perluaskan jaringan runcit, peningkatan kemampuan kilang dan kecekapan operasi tetap menjadi keutamaan kami.

"Kami akan meneruskan usaha dalam memberikan pertumbuhan jangka masa panjang dan nilai terbaik kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:03 PM