LANDSKAP horizontal ini bukan saja memperlihatkan susun atur terancang, malah lebih daripada itu.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Tarikan untuk meluangkan lebih banyak masa di taman biasanya dipengaruhi pelbagai faktor.

Antaranya konsep penataan taman yang kena dengan cita rasa dan suasana dicetuskan mampu memberikan ketenangan sepanjang masa buat anda.

Tidak dinafikan, susun letak kayu palet sebagai pelengkap aksesori hiasan dan keperluan taman bukan lagi perkara baru buat pencinta dunia landskap.

Daripada warna asli atau natural atau dicat warna pilihan, ia menjadi kekuatan elemen hiasan yang dilihat begitu serasi berada di taman.

Ramai yang memberi jawapan sama apabila memperkatakan berkenaan kayu palet di taman.

Diakui juga penggunaan kayu palet sangat efisien dan praktikal sebagai tempat meletak tanaman dan sesuai dijadikan bekas tanaman.


SUASANA natural diimbangi tanaman hijau dan berbunga.

Menurut pakar landskap Jabatan Pertanian Muhamad Adli Salihin Samsudin, produk kayu palet dilihat begitu sesuai untuk landskap vertikal atau menegak dan landskap horizontal atau mendatar.

“Seni sebegini kelihatan rustik dan ada elemen estetika tersendiri.

“Anda perlu teliti keluasan ruang dan jenis tanaman yang berpadanan dengan rekaan berasaskan kayu palet.

“Bermakna landskap vertikal lebih lengkap untuk ruang terhad seperti balkoni atau sudut taman.

“Susunlah tanaman seperti ros Jepun, marigold atau pokok berdaun menarik. Selain selang- selikan ia dengan tanaman hijau sebagai mencipta kombinasi menarik,” katanya.


GABUNGAN pokok berdaun menarik, pokok bunga dan sayur-sayuran beralaskan kayu palet.

Tanpa perlu berbelanja besar, anda boleh ketengah kreativiti menghasilkan rekaan menarik berasaskan kayu palet.

Aura taman juga lebih menampakkan kelainan jika anda bijak memilih tanaman yang hidup dengan karakter tersendiri.

Pokok menjalar seperti money plant atau seri pagi jika dililitkan atau ditempatkan pada produk kayu palet itu mencetuskan visual landskap luar biasa.

“Melihat kepada landskap horizontal, biasanya kayu palet dijadikan bekas tanaman atau pelengkap batas.

“Sama ada untuk menanam sayur-sayuran atau tanaman hiasan, fungsi kayu palet dalam landskap horizontal ini bukan saja memperlihatkan susun atur terancang, malah lebih daripada itu.

“Di samping itu ia memudahkan kerja penyelenggaraan termasuk penyiraman, merumpai atau membaja,” katanya.


TANPA perlu berbelanja besar, anda boleh ketengah kreativiti.

Muhammad Adli Salihin berkata keadaan kayu palet itu sendiri bersifat ‘sejuk’ dan mempunyai ciri-ciri semula jadinya yang natural membuat ia dilihat begitu serasi dengan keadaan taman.

Ia juga tidak berat dan mudah dialihkan jika anda inginkan reka letak atau gaya baru di taman.

“Memadai dengan kreativiti dari segi pemilihan tanaman dalam pasu dan rancang teliti susun letaknya di atas kayu palet.

“Anda juga bebas untuk memberikan wajah baru pada elemen hiasan itu sama ada dikekalkan warna asal (natural) atau mengecat semua dengan warna pilihan yang lebih ceria atau memenangkan.

“Situasi itu juga mendorong anda seisi keluarga termasuk anak lebih seronok berada di taman apatah lagi jika berpeluang menyusun letak pasu bunga, mengalih kedudukan, menjalankan kerja pertukangan kayu atau mengecat semula kayu palet,” katanya.


MENCIPTA suasana santai.

Semestinya ia mencipta pengalaman baru, mengenali lebih dekat produk kitar semula seperti kayu palet ini dan menggarap sebanyak mungkin kreativiti apabila berjaya menghasilkan sendiri bangku, kerusi atau meja dari elemen ini.

“Benar-benar menyeronokkan dan sudah tentu ketika itulah anda boleh menggunakan kesempatan yang ada untuk mendidik anak lebih mencintai keindahan alam sekitar dari mengenali spesies tanaman hingga aspek penyelenggaraannya,” kata Muhamad Adli Salihin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:17 AM