SEBAHAGIAN ahli kelab Pak Tam Harmony Craft menunjukkan sebahagian dari alas meja kait yang bakal diisytiharkan sebagai seni kait terpanjang dalam MBOR.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Seni kait jarum satu antara sentuhan tangan cukup unik kerana kreativiti itu secara jelas mengetengahkan kesungguhan, ketelitian dan bakat seseorang.

Melihat ia sebagai satu elemen penting untuk ruang kediamannya, Nurfaezah Abdullah, 50, nyata teruja sebaik memperkatakan berkenaan seni unik itu.

“Bermula usia 16 tahun lagi saya sudah menghasilkan seni kait ini dan idea yang datang adalah spontan tanpa belajar dari mana-mana.

“Saya akui begitu obses dengan seni ini kerana ia memberikan kepuasan sebaik berjaya dihasilkan,” kata anak kelahiran Penampang, Sabah ini.


ANTARA bahan dan peralatan seni kait.

Menariknya, kunjungan penulis ketika Program Liputan Media Sempena Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLICF 2017) Selasa lalu di kediamannya di Bandar Seri Putra Bangi, Kajang, disambut meriah.

Ramai kawan yang datang bertandang sambil sibuk menyiapkan alas meja yang dikait jarum satu untuk menyertai KLICF 2017 tidak lama lagi.

Pelbagai jenis koleksi seni kait menghiasi segenap ruang kediaman Nurfaezah itu hingga terbit rasa kagum di hati penulis betapa mendalamnya minat wanita itu.

Dari alas meja, alas kabinet televisyen hingga alas sofa, semuanya berasaskan seni unik dengan sentuhan warna serta motif tertentu.


BIARPUN sekadar diletakkan pada kabinet televisyen, keunikan alas meja kait ini nyata mencuri perhatian.

“Percaya atau tidak, alas meja makan ini sudah berusia 20 tahun? pertanyaan Nurfaezah yang membuatkan penulis dan media lain terkejut.

Jelas, alas meja makan itu bagaikan baru dihasilkan kerana masih berseri, menarik dan terjaga rapi.

Berkenaan rahsia penjagaan seni itu, Nurfaezah berkata memandangkan elemen hiasan itu agak sensitif dan mudah kotor jika kurang peka, seharusnya ia dijaga rapi.


KETELITIAN penting ketika menghasilkan kraf kait jarum satu supaya ia kelihatan kemas.

“Mudah saja, kerana perkara paling penting memastikan elemen ini sentiasa bersih sepanjang masa.

“Penggunaan plastik sebagai alas di atas alas meja makan berasaskan seni kait ini antara langkah pencegahan supaya ia tidak mudah kotor.

“Apatah lagi, ia mudah dibersihkan atau dicuci jika terkena kotoran,” katanya yang turut menganggotai Pak Tam Harmony Craft iaitu salah satu kelab berkenaan seni kait.


DALAM penataan ringkas, keindahan seni kait tetap menjadi elemen penting dekorasi.

Beliau berkata, menerusi kumpulan seni kait itu pelbagai idea dikongsi sambil saling memberikan tunjuk ajar dan pandangan.

“Sekurang-kurangnya kita dapat melihat kreativiti ahli lain kerana masing-masing mempunyai bakat tersendiri,” katanya.

Penyertaan dalam KLICF 2017

Diasaskan Syukor Ismail, 76, kelab Pak Tam Harmony Craft dianggotai kira-kira 60 ahli seluruh negara gigih menyiapkan 500 meter alas meja sebagai persediaan untuk Malaysia Book of Records (MBOR) yang dijangka dicapai pada 25 November ini sempena KLICF 2017.

Kerja mengait yang dilakukan sejak awal tahun ini nyata mendapat kerjasama padu dari semua ahlinya.


SENI kait jarum satu turut menjadikan anda lebih kreatif.

“Saya bangga dan terharu dengan kesungguhan semua ahli dalam kumpulan ini kerana tanpa jemu berusaha sedaya mungkin bagi melayakkan seni kait kami tercatat dalam MBOR.

“Selain mengisi masa lapang, mengait menjadikan anda lebih kreatif dan teliti,” katanya yang turut dikenali sebagai Pak Tam.

Malah beliau sangat berbangga dengan bantuan dan kerjasama dari Kraftangan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 3:01 PM