SUHAILA banyak berkongsi pengalaman dan ilmu dalam Kelab Ros HoneyBee.
DIANGGARKAN lebih 200 pokok bunga itu berjaya ‘dirawat’ Suhaila.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Bagaikan berada di taman bunga ros dengan kuntuman mekar berkembang menyerlahkan keharmonian dan ketenangan semula jadi di kawasan persekitarannya.

Biarpun tumbuh sekadar dalam pasu, gambaran keindahan tanaman bunga ros yang diusahakan Suhaila Mohd Termizi, 42, ini bukan biasa-biasa.

Obses dengan keunikan bunga ros membuatkan kediaman wanita ini sarat dengan pelbagai jenis tanaman hiasan itu.

Sambil menemu bual, beberapa kuntum ros dihulurkan kepada penulis. Harumannya menusuk hidung.

“Saya sebenarnya tidak bersendirian dalam menanam pokok ini.

“Dorongan daripada rakan yang mempunyai minat sama membuatkan saya lebih bersemangat.

“Ditambah dengan adanya media sosial, jadi kami dapat berkongsi perkembangan pokok ditanam dengan pantas.

“Satu hobi yang menyeronokkan kerana ia secara tidak langsung membina ikatan silaturahim utuh dalam kalangan kami,” itu ungkapan pertama Suhaila ketika memulakan sesi temu bual di kediamannya yang terletak di Kampung Pasir Panjang, Klang, Selangor itu.

Suhaila berkata, menerusi penyertaan dalam Kelab Ros HoneyBee diasaskan Rohani Bujang banyak ilmu yang ditimba daripada sifunya itu hingga menyebabkan kediamannya itu digelar ‘pusat konservasi’ bunga ros.

“Pertemuan dengan sifu saya itu tiga tahun lalu menambahkan minat terhadap bunga unik ini.

“Cabaran dalam menanam bunga hiasan yang dikatakan sukar tumbuh di Malaysia ini, saya sahut dan ingin buktikan sebaliknya.

“Hakikatnya ia tidak sukar asalkan kena dengan cara penjagaan termasuk aspek media tanaman, penyiraman, pembajaan dan rutin penyelenggaraannya,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Lantas minat mendalam itu Suhaila gemar ‘merawat’ pokok bunga ros rakan kelab dan jiran tetangga supaya kembali subur dan mekar berbunga.

Dianggarkan juga lebih 200 pokok bunga itu berjaya ‘dirawat’ Suhaila.

Lebih membanggakan apabila hingga kini terdapat lebih dari 100 koleksi tanaman hiasan itu memenuhi segenap penjuru taman kediamannya.

Di sudut mana pun, pasti terhidu haruman bunganya yang menjadikan pengalaman menemu bual wanita ini begitu bermakna buat penulis dan jurugambar.

Sempat juga beliau berkongsi beberapa petua penjagaan tanaman itu jika berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu.

“Hujan lebat boleh menyebabkan batang pokok ini menjadi hitam.

“Jika cuaca panas berpanjangan pula, batangnya bukan saja hitam malah kering.

“Cara mengatasinya, tanaman itu perlu diletakkan pada kawasan redup tapi kena ada cahaya matahari,” katanya yang mengakui menanam bunga yang sinonim dengan kasih sayang itu memerlukan ketelitian, kepekaan dan kesabaran yang tinggi.

Beliau juga mengakui bahawa anda yang meminati tanaman bunga ini sebagai penyeri landskap taman seharusnya tidak mudah putus asa jika tumbesarannya kurang memberangsangkan.

“Paling penting timba sebanyak mungkin ilmu berkenaan tanaman ini.

“Kini teknologi Internet sudah di hujung jari. Selain berkongsi pandangan dengan rakan yang mempunyai minat sama, kita kadangkala tidak sedar bahawa kita sebenarnya mampu mencipta kelainan dengan tanaman hiasan ini.

“Sungguh, bunga ros yang ditanam jika tumbuh subur dan berbunga mekar, terbit satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata,” katanya yang turut mendapat sokongan suami tercinta, Tara Hashim, 45.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Kelab Ros HoneyBee boleh layari Facebook ROS ROSA ROSE MAWAR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 11:03 AM