GUBAHAN benar-benar menarik jika menyamai ‘kehidupan’ asal.
KEUNIKAN yang membuatkan orkid hiasan antara pilihan dalam menyerikan ruang.
MOHD Nawawi begitu mencintai dunia gubahan orkid.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Minat mendalam terhadap dunia gubahan mendorong anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini tidak lokek berkongsi idea dan panduan supaya hasilnya lebih mengujakan serta sempurna.

Begitu dekat dengan gubahan orkid, Mohd Nawawi Mustafha, 39 sentiasa tampil dengan gubahan unik sarat kelainan sesuai untuk pelbagai majlis, ruang atau tanda penghargaan.

Sesi temu bual Mohd Nawawi yang turut dikenali Awien atau Awie itu lebih menarik apabila beliau turut berkongsi kaedah menghasilkan gubahan orkid dua tangkai yang eksklusif.

Sambil tangan pantas menghasilkan gubahan mengikut peringkat tertentu, mulutnya petah menjawab pertanyaan penulis.

“Menghasilkan gubahan orkid hiasan ini tidak sukar, namun ia seharusnya kelihatan lebih semula jadi dan benar-benar menarik jika menyamai ‘kehidupan’ asalnya.

“Dalam erti kata lain, sebelum menghasilkan gubahan banyak elemen atau persiapan lain yang perlu dilakukan bukan sekadar penyediaan bahan gubahan semata-mata.

“Paling utama, kaji dan kenali karakter orkid atau tumbuhan asal yang anda gubah itu supaya setiap gerak langkah dan susun letaknya lebih semula jadi,” katanya yang menceburi bidang gubahan sejak 2004 dengan menubuhkan syarikat Anggun Kejora.

Malah beliau sendiri sering menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam jika berkunjung ke nurseri bunga-bungaan hanya semata-mata menatap keindahan orkid.

“Daripada medium tanaman, kedudukan bunga yang berkembang atau sebaliknya, keadaan daun serta liuk-lintuk orkid itu sebaik ditiup angin juga nyata mencuri perhatian saya.

“Lantas, inspirasi gubahan tercetus dari situasi itu,” katanya yang tidak hanya pakar dalam gubahan orkid semata-mata.

Mohd Nawawi juga berkata, setiap kali beliau menghasilkan gubahan orkid hiasan, bayangan karakter semula jadi tumbuhan itu adalah satu keutamaan.

Kemudian idea gubahan mula digarap dengan mencari bahan sesuai.

“Biasanya orkid hiasan pilihan saya daripada berasaskan ‘latex premium’ kerana lebih berkualiti dan menjamin jangka hayat gubahan supaya lebih lama bertahan.

“Bukan sekadar memperlihatkan gubahan orkid yang benar-benar semula jadi, malah material ini tidak mudah memerangkap habuk atau kotoran.

“Faktor penjagaan itulah yang menjadikan ‘latex premium’ sebagai pilihan utama,” katanya yang tidak menang tangan menerima tempahan menghasilkan gubahan orkid.

Malah insan berbakat ini pernah menghasilkan gubahan buat beberapa selebriti popular tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Gubahan orkid dua tangkai

Membabitkan gubahan bebas menyamai dua orkid Phalaenopsis ‘Dalmation’ semula jadi.

Bagi memperlihatkan karakter sebenar orkid, pemilihan material gubahan juga diambil kira.

Mohd Nawawi hanya memilih dua orkid berdasarkan ‘kehidupan’ asal tanaman itu yang tidak terlalu sarat.

Dalam menyerlahkan keindahan, pasu berisi lumut hiasan, pokok sekulen dan tali pengikat paling kecil.

“Sediakan material gubahan sedikit pelbagai untuk melihat sejauh mana ia sesuai dalam susun atur dan benar-benar nampak semula jadi.

“Pada masa sama saya gemar menggunakan pelekat panas atau ‘hot glue’ yang diletakkan pada pangkal tangkai orkid dan buluh ini sebelum dicucuk pada pasu,” katanya yang menghasilkan gubahan itu di pusat sehenti bunga hiasan WH Floral Trading Sdn Bhd.

Berminat mengikuti perkembangan dan idea gubahan orkid sila layari Facebook Awienaz Mustafha dan Instagram awienazmustafha untuk sebarang keterangan lanjut.

Terima kasih:

WH Floral Trading Sdn Bhd

No 9, Jalan Perusahaan 3,

Taman Industri Selesa Jaya,

Balakong, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 11:11 AM