SEBAHAGIAN permaidani buatan tangan yang tentunya menarik perhatian pengunjung.
Hartini Mohd Nawi


Inspirasi budaya dan gaya hidup unik sesebuah negara membuatkan Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 ini tampil dengan suasana berbeza.

Ia bukan sekadar menjadi platform terbaik buat pengusaha mempamerkan kreativiti dan produk masing-masing, malah secara jelas memberi peluang keemasan buat pengusaha tempatan berkongsi kelainan idea dan meneroka keunikan kraf pengusaha antarabangsa.

Diadakan di Dataran Putrajaya, Precint 3, Putrajaya KLICF 2017 adalah anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Berlangsung sejak Khamis lalu dan dijangka berakhir esok, festival bertemakan Kraf Menyatukan Masyarakat itu disertai 408 usahawan kraf iaitu 238 usahawan domestik dan 170 usahawan antarabangsa dari 35 negara termasuk Malaysia.

Ia membabitkan Argentina, Azerbaijan, Brunei, Ecuador, Mesir, Hungary, India, Indonesia, Iran, Mauritius, Mexico, Myanmar, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Syria, Thailand, Turki, Uzbekistan, Cuba, China, Nigeria, Arab Saudi, Timor Leste, Ukraine, Uganda, Vietnam, Iraq, Palestin, Yemen, Sudan, Denmark, Tunisia, Maldives dan Australia.


KEUNIKAN produk luar negara.

Pada masa sama festival itu turut menjadi landasan perniagaan kepada usahawan kraf seluruh dunia dalam mempamerkan, mempromosikan keunikan dan kesenian produk negara masing-masing. Menariknya, kira-kira 60,000 pengunjung dijangka hadir ke KLICF 2017 itu.

Bagi Pengurus Pembangunan Bisnes Razi Gallery Mike Orbe, penyertaan syarikatnya dalam KLICF 2017 itu membuka banyak peluang buat pengunjung dan rakan perniagaan.

“Permaidani Persia buatan tangan ini umpamanya mempunyai nilai estetika dan daya tarikan luar biasa pada ruang dalaman.

“Sudah tentu KLICF 2017 menjadi medan terbaik untuk berkongsi keunikan dan idea produk kami buat pengunjung,” katanya yang berasal dari Sepanyol.


DEMONSTRASI anyaman rotan untuk menghasilkan lampu hiasan daripada jurudemo Asmaon Bachek.

Bagi pengasas dan pemilik Anna Patchwork House Rohana Saadan, festival yang disertai tiga kali berturut-turut itu menawarkan pelbagai keistimewaan buat pengunjung serta usahawan sendiri.

“Di sini, sebagai usahawan tempatan saya berbangga kerana pada masa sama berkesempatan berkenalan dengan usahawan luar negara.

“Dari situ idea dapat dikongsi bersama. Pengunjung pula bebas membuat pilihan mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.

Rohana berkata, berada di gerai Anna Patchwork House tentunya membuatkan anda rambang mata dengan kepelbagaian produk berasaskan batik.

“Produk kami mempunyai pelbagai guna sama ada untuk hiasan atau kegunaan harian,” katanya.


ROHANA bersama sebahagian produk Anna Patchwork House.

Tumpuan KLICF 2017

Festival yang dianjurkan kali ketiga itu diberi suntikan elemen baru dan menarik dengan menyajikan pelbagai pengisian aktiviti untuk pengunjung.

Menerusi aktiviti jualan, pelbagai produk kraf bercirikan tradisional, moden hingga kontemporari dari berbagai bidang kraf diperkenalkan usahawan tempatan dan luar negara.

Ia turut menampilkan pelbagai aktiviti tarikan pengunjung yang berkonsepkan kekeluargaan seperti ‘Crafty Run,’ Pameran Kereta Antik, Perkampungan Beca, ‘Live Art Drawing,’ ‘Coloured Man’ dan ‘Gasing Glow In The Dark.’


REKAAN mengabungkan idea moden dan tradisional.

Selain itu, turut diadakan aktiviti demonstrasi kraf dan persembahan kebudayaan sepanjang festival berlangsung.

Seramai 10 jurudemo antarabangsa dan 20 jurudemo tempatan menunjukkan kepakaran menghasilkan produk kraf daripada pelbagai bidang seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam serta aneka kraf.

Aktiviti persembahan kebudayaan dan kesenian turut diketengahkan. Turut ditampilkan produk alas meja terpanjang jahitan sulaman kait berukuran sepanjang 500 meter dengan kelebaran 76 sentimeter yang bakal dicatatkan di dalam Malaysia Book Of Records.

Layari www.kraftangan.gov.my untuk keterangan lanjut.


INSPIRASI budaya dan seni diterapkan pada hiasan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 11:43 AM