RUSNI bersama sebahagian koleksi kesayangannya.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Tidak dinafikan bukan calang-calang orang boleh melakukan apa yang suri rumah ini lakukan jika mengambil kira masa dan wang ringgit dilaburkan untuk menyimpan ‘khazanah’ istimewanya.

Rusni Mustaffa, 57, begitu obses sebagai pengumpul koleksi tin coklat.

Hingga kini ruang kediamannya dipenuhi lebih 500 koleksi tin coklat pelbagai jenama edisi terhad yang dikumpulkan sejak lebih enam tahun lalu.

Di segenap ruang dan dinding kelihatan almari serta rak yang menempatkan koleksi tin coklat, gula-gula selain biskut pelbagai jenama bermula keluaran 1920-an hingga terkini.

Antara koleksi tin coklat jenama terkenal dikumpul adalah Cadbury, KitKat, Oreo, M & M, Kinder, Hershey’s, Sincero, Kellogs, Chupa Chups, Van Houten, makanan bijirin Oat Krunch, botol dan cawan minuman Nescafe, Coca-Cola serta Milo dengan rekaan menarik.


SETIAP koleksi disusun letak mengikut kesesuaian.

“Saya sangat berminat dengan bentuk, corak cantik dan berwarna-warni. Ia bukan satu ‘kerja’ sia-sia tetapi untuk dikenang dan diingati anak cucu apabila saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan 2, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Rusni tidak berasakan ia satu hobi ‘menjengkelkan’ kerana setiap koleksi itu unik, ada cerita dan nilai tersendiri.

Malah anak, saudara-mara dan rakan kerap memberinya hadiah coklat, gula-gula serta biskut dalam tin istimewa sekembali mereka dari melancong di luar negara.

“Mereka tahu minat saya sebab itu sanggup berhabis duit untuk belikan hadiah dan saya pula memang seronok sangat dapat hadiah tin comel ini,” katanya yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam membersih dan mengubah susun atur koleksinya itu.


RUSNI bersama antara tin paling kecil dan paling besar.

Antara koleksi sentimental Rusni adalah tin coklat Tin Walkers edisi British Royal Family yang dihadiahkan sepupunya sebagai kenangan ketika melancong di London tiga tahun lalu.

“Begitu juga dengan sebuah tin coklat jenama KitKat lama yang turut menceritakan bagaimana coklat diperkenalkan dan menjadi pilihan rakyat dunia sehingga kini.

“Kedua-dua koleksi ini tiada di pasaran Malaysia dan saya rasa bertuah kerana memilikinya. Semuanya umpama bahan sejarah yang perlu dijaga sebaik mungkin sebagai kenangan untuk anak cucu pada masa depan,” katanya.


ANTARA hiasan comel.

Pemberian anaknya, Khairul Hazwan, 32, juga antara koleksi kesayangan Rusni.

Ia adalah koleksi tin coklat empat segi yang menggambarkan rumah kedai lama di Phuket, Thailand, yang diberi pada 2015.

Selain itu ialah tin coklat London Bus cenderamata daripada menantunya, Nazri Naim Azmee, 30-an, yang dibeli di London pada 2014.

Pada masa sama, Rusni antara ahli Kelab Pengumpul Tin Malaysia di Facebook.

Menurutnya, hubungan dalam kalangan ahli kelab menjadikan koleksi ahli cepat bertambah dan hanya perlu melaburkan sejumlah wang bagi mendapatkan apa dihajati.

“Pengaruh sahabat maya sangat kuat kerana mereka selalu mengemas kini koleksi terbaru dan ada kala kami lakukan urusan jual beli secara dalam talian saja atau terus ke lokasi dinyatakan,” katanya.


REKA bentuk unik koleksi tin ini membuatkan ia menarik perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 10:46 AM