PEMILIHAN rona pastel membuatkan ruang lebih luas.
LAKUKAN transformasi besar-besaran.
HIJAU menaikkan seri.
RUANG tamu berelemenkan romantis.
KONSEP yang lebih segar.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Menatarias kediaman peribadi dan pilihan konsep menepati cita rasa bukanlah perkara mudah untuk dizahirkan. Ia memerlukan penyelidikan, rujukan dan kefahaman yang tinggi diiringi kesabaran serta ketabahan demi mencipta ruang dalaman impian.

Mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu, pasangan Nursyazlie Abd Rahman, 30, dan Nurwahida Abd Razak, 29, menetap di kediaman teres di Senawang, Negeri Sembilan, tidak pernah terfikir minat mereka menjurus ke arah seni reka bentuk dalaman.

Menurut Nurwahida, sebelum ini mereka tidak pernah fokus terhadap dekorasi rumah dan tiada sebarang konsep mahupun tema yang diingini.

Pemilihan warna cat ruang dalaman yang gelap sebelum ini membuatkan kediaman mereka tampak suram dan tidak berseri.

“Sebelum membuat keputusan ‘menghidupkan’ semula kediaman, terlebih dulu kami membuat sedikit kajian berkenaan konsep yang menarik dan sesuai dengan cita rasa pasangan muda seperti kami.

“Enggan sarat dengan pelbagai jenis perabot dan warna cat yang suram, kami tertarik dengan konsep Scandinavian berasal dari lima negara Nordik seperti Norway, Denmark, Finland, Iceland dan Sweden.

“Konsep ala Scandinavian ini sangat minimal dan santai malah pemilihan warna utama lebih semula jadi serta lembut. Sementara susun atur dekorasinya juga tidak terlalu ‘rigid’ (tegar).

“Bagi fasa awal, kami perlu menggantikan semua perabot dan peralatan lama. Kebanyakan perabot ini dijual menerusi dalam talian dan hasilnya kami gunakan untuk membeli perabot yang mempunyai elemen kayu,” katanya.

Menjadikan warna kegemaran, merah jambu lembut sebagai warna tema utama kediamannya, Nurwahida turut menggabungkan rona lain seperti putih, coklat terang dan kelabu sebagai penyeri.

Di ruang tamu, terdapat sofa mini berona merah jambu pastel dihadirkan bersama dua kusyen berbeza bentuk mahupun warna.

“Kewujudan sofa dua tempat duduk rekaan kontemporari ini bagi menguatkan lagi identiti rona pastel di ruang utama.

“Susun letak kerusi malas putih berlapikkan permaidani kait menggunakan rona hampir serupa sebagai menjadi tarikan tambahan,” katanya.

Gabungan dua meja tamu berkaki kayu dan berbentuk tiga segi melengkung berbeza saiz mengisi sudut kosong bertindak sebagai pembahagi ruang yang beralaskan permaidani berbulu kelabu.

Menurut Nurwahida, dalam melengkapkan dekorasi pasu tumbuhan hijau renek dijadikan penyejuk mata malah kehijauan itu membuatkan suasana lebih berseri.

“Elemen kayu kami diselitkan demi menyerlahkan konsep ala Scandinavian ini menerusi tangga kayu tersandar pada dinding putih.

“Ruang santai yang juga ruang kegemaran kami mengisi masa berkualiti ini dihiasi sofa kelabu berbentuk L berhadapan televisyen.

“Bagi mengelakkan sofa ini menyerlah, bantal hiasan berbulu dengan rona merah jambu, putih dan kelabu disediakan,” katanya.

Meminimumkan material berbulu, pemilihan permaidani bagi ruang menonton televisyen ini menjurus kepada kombinasi warna utama diselitkan rona terang demi tarikan mata.

Mengekalkan konsep minimalis, rak televisyen hanya dihiasi aksesori ringkas yang terhad. Namun kehadiran pokok berdaun hijau di sisi televisyen berjaya membangkitkan kesegaran.

Memperlahankan tarikan dominasi merah jambu, ruang makan pula ditatarias berunsurkan semula jadi apabila set meja makan kelihatan menonjol dengan ton putih bersama coklat terang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 10:07 AM