Nurul Husna Mahmud

Ruang kediaman yang dikongsi bersama haiwan peliharaan perlu diberi penelitian terutama dari segi kebersihan dan sistem pengudaraan demi kesihatan pemilik dan haiwan kesayangan.

Tidak dapat dinafikan ramai pemilik kucing mencari ilham dengan mengunjungi pelbagai pusat jagaan si bulus. Ini juga yang ditawarkan Taman Permainan Cat Me di Setia Alam milik Wan Mohamad Bakri Saifudin yang sentiasa bersedia membantu pemilik kucing untuk merias ruang permainan bersesuaian dengan tabiat kucing.

Menurut Wan, taman permainan kucing itu yang dibuka untuk dikunjungi peminat si bulus itu sejak dua tahun baru saja melalui proses pengubahsuaian.

“Saya sukakan persekitaran tenang dan menggunakan tema seperti dalam taman yang penuh kehijauan warna kayu sebagai tema ruang permainan kucing di sini. Konsep yang saya mahukan ruang ini bukan saja praktikal buat kucing, tetapi pada masa sama memberi suasana santai dan relaks buat pengunjung.


RUANG utama menempatkan binaan seperti pokok.

“Justeru saya gunakan sentuhan elemen semula jadi seperti rak bertingkat bagi membolehkan kucing melompat dan ia boleh bersantai di bawah pokok tiruan. Karpet rumput diguna untuk memberi pendedahan kepada kucing yang sentiasa berada di dalam rumah supaya dapat merasai suasana seperti di luar.

“Berbanding rekaan asal di mana lantai ruang taman permainan kucing dilitupi 70 peratus karpet rumput, kami rombak semula dengan hanya 20 peratus lantai ‘berumput’ dan selebihnya menggunakan vinil kayu.

“Kami mendapati rekaan awal tidak praktikal apabila kucing ini kerap membuang air di permukaan karpet rumput dan ia sukar ditangani sehingga baru-baru ini kami menukar kepada permukaan kayu. Selain najis mudah diuruskan, malah sifat material itu berkilat membuatkan kucing kami lebih aktif dan ceria,” katanya.


TANGGA jadi ruang kucing bermain.

Selain ruang bermain, tempat kucing bersantai turut dititikberatkan apabila ada sebahagian kotak dihasilkan sendiri selain tempahan khas memastikan ia sepadan dengan saiz kucing di situ.

“Kotak untuk kucing berbaring dan bermalas-malasan antara menarik perhatian pemilik kucing. Kami mempunyai ukuran standard sendiri yang lebih besar iaitu 30 sentimeter (12 inci) berbanding pasaran lebih kecil iaitu 25 sentimeter (10 inci). Kucing sukakan ruang berbentuk petak dan kami hasilkan menggunakan kayu pain.

“Untuk stesen permainan lain seperti jambatan mahupun tangga, kami pilih kayu setebal 12 milimeter bagi memastikan ia mampu menampung kucing yang berat dan gemar melompat. Selain jarak ketinggian antara satu rak ke rak lain tidak melebihi 0.6 meter (2 kaki) untuk mengelak kucing tercedera ketika bermain.


KOTAK khas tempat kesukaan kucing.

“Perlu diingatkan sistem pengudaraan yang baik sangat penting. Anda boleh guna pembersih udara elektrik atau cara alami iaitu membuka tingkap untuk udara masuk dan keluar.

“Bagi menyerap bau kurang enak daripada najis kucing, saya gunakan arang kerana ia murah dan berkesan. Setiap tiga bulan saya akan jemur arang ini untuk mengeringkannya dan membolehkan ia berfungsi secara optimum. Arang ini boleh digunakan berkali-kali dan ia akan menjimatkan kos.


AKSI kucing yang selesa dengan lokasi permainan mereka.

“Untuk mainan, saya hasilkan sendiri menggunakan paip PVC yang dililit dengan tali guni selain mainan lembut bagi merangsang minat kucing terus bermain,” katanya.

Taman kucing berkenaan yang beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam turut menawarkan servis lain seperti penginapan (hotel), riasan dan barangan untuk si bulus kesayangan anda.


KUCING sukakan ruang sempit untuk berehat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 12:43 AM